KUALA LUMPUR: Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) melantik bekas ketua pegawai kewangan (CFO) kumpulan, Scomi Group Bhd, Mukhnizam Mahmud sebagai CFO baharu CMSB, berkuat kuasa 15 Mac 2022.

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, CMSB berkata, Mukhnizam, 56, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dengan syarikat di Malaysia, Singapura dan Indonesia dalam perakaunan/kewangan dan pengurusan am.

“Beliau ialah Akauntan Amalan Bertauliah dan jawatan terakhirnya ialah sebagai CFO Scomi Group Bhd,” kata CMS.

Pelantikan beliau adalah sebagai mengisi kekosongan jawatan itu berikutan siasatan undang-undang teterhadap CFO kumpulan sebelum ini, Syed Hizam Alsagoff berkaitan pengurusan kewangan pelaburan dan kontrak tertentu pada masa lalu.

Syed Hizam telah digantung tugas sejak Mei 2021 bagi memudahkan siasatan. Berikutan itu, kontraknya sebagai CFO kumpulan berakhir pada 31 Ogos 2021.

Sementara itu, pengurus besar kewangan kumpulan Tan Mei Fung bertindak sebagai ketua kewangan, menurut CMS. Syarikat itu telah melantik KPMG Management & Risk Consulting Sdn Bhd (KPMG MRC) sebagai perunding bebas untuk siasatan. - DagangNews.com