Ringkasan AI
- Calon Bebas DUN Bemban, Abdul Halim Said, yakin mampu mencipta kejutan pada PRN Melaka dengan strategi kempen rumah ke rumah tanpa bahan kempen konvensional.
- Beliau menekankan isu identiti Kampung Tehel, masalah banjir akibat pembangunan tidak terancang, dan kebajikan warga emas sebagai keutamaan jika diberi mandat.
- Abdul Halim berdepan saingan empat penjuru termasuk penyandang kerusi dan menyeru 26,381 pengundi DUN Bemban keluar mengundi pada hari pengundian.
BEMBAN: Berbekalkan pengalaman pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 serta lebih 25 tahun menetap di Kampung Tehel, calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Abdul Halim Said yakin mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Beliau berkata, keyakinan itu turut didorong penerimaan positif penduduk sepanjang hampir 10 hari berkempen, meskipun bergerak tanpa sokongan jentera parti dan bahan kempen konvensional seperti poster, kain rentang serta bendera.
Menurutnya, pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka dari rumah ke rumah menjadi strategi utama bagi memperkenalkan dirinya serta mendengar sendiri permasalahan masyarakat setempat.
“Sebagai calon Bebas ini memang saya tidak boleh menjanjikan apa-apa janji manis ataupun menabur gula-gula sepanjang kempen.
“Strategi saya tidak menggunakan poster, banner, bendera dan sebagainya. Pendekatan kita ialah bertemu sendiri pengundi dari rumah ke rumah,” katanya.
Mengulas isu setempat, Abdul Halim berkata antara perkara yang menjadi kebimbangan penduduk Kampung Tehel ialah pelaksanaan projek Kampung Digital yang didakwa menyebabkan nama Tehel tidak lagi tertera dalam sebahagian alamat kampung.
Katanya, penduduk bimbang keadaan itu boleh menghakis identiti serta sejarah nama Kampung Tehel yang telah sekian lama menjadi sebahagian daripada penempatan masyarakat di kawasan berkenaan.
"Saya berhasrat memperjuangkan isu berkenaan sekiranya diberikan mandat, bagi memastikan identiti kampung berkenaan terus dikekalkan tanpa menafikan manfaat kemajuan teknologi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI pada Khamis.
Selain itu, beliau berkata masalah banjir yang menjejaskan penduduk kampung akibat pembangunan tidak terancang turut memerlukan perhatian, khususnya dari segi penyelenggaraan sistem saliran dan perancangan pembangunan kawasan sekitar.
Beliau turut membangkitkan isu kebajikan warga emas yang berdepan masalah kesihatan dan memerlukan perhatian lebih menyeluruh, termasuk usaha mengumpulkan data bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan.
Menjelang hari pengundian, Abdul Halim menyeru 26,381 pengundi berdaftar di DUN Bemban supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan suara masyarakat setempat terus diberi perhatian.
Pada PRN Melaka ke-16, Abdul Halim yang menggunakan pendekatan sebagai calon Bebas berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Bemban.
Beliau akan berdepan penyandang kerusi, Dr Mohd Yadzil Yaakub daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Rabaie Ab Hamid daripada BERSATU serta Dr Muhammad Solehin Saleh daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).