KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) menyasarkan tambahan sebanyak 2,000 akaun Simpanan-i Salam MyStar dibuka pada tahun 2021 sehingga 2022.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, pembukaan akaun itu adalah untuk mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan pendeposit akaun Simpanan-i Salam Mystar yang berusia 18 tahun ke bawah secara automatik akan menjadi Ahli Kelab MyStar.

Jelasnya, ahli kelab MyStar akan menerima potongan harga daripada rakan kerjasama strategik CBP.

"Ketika ini, CBP telah bekerjasama dengan Penang Bird Park di mana ahli diberi kemasukan percuma dan juga Kedai Salim Wahab yang memberi potongan harga sehingga 15 peratus.

"CBP juga kini merancang untuk menambah lagi beberapa rakan kerjasama strategik ini dalam memberi keistimewaan dan manfaat kepada ahli kelab MyStar ini.

"Pembukaan akaun Mystar serendah RM20 ini juga mampu memupuk semangat menabung pada usia muda," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, beliau menghadiri program Touch-Point CB-Prihatin di Sungai Petani.

Ujarnya, menerusi program Touch-Point itu, Anggota Lembaga (ALK) CBP telah turun padang dalam menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan kotak makanan asas kepada keluarga B40.

"Selain memfokuskan kepada keluarga daripada golongan tersebut, CBP turut mengadakan program Back To School di mana kita membuka akaun simpanan-i Salam kepada 50 orang pelajar dengan jumlah RM200 seorang.

"Bagi menjayakan program ini, CBP telah memperuntukkan RM300,000 bagi menjayakan program Back To School ini," katanya.

Sebelum ini, CBP telah tersenarai di dalam Koperasi Premier Negara bagi tahun 2021 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata pengiktirafan untuk berada di dalam kelompok Koperasi Premier yang diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah membuktikan kemampuan CBP untuk terus mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaannya dan seterusnya akan memberi manfaat kepada hampir 100,000 anggota CBP.