Sukan SEA: Nur Eilisha-Nurul Farisya sumbang pingat emas tunggal kem terjun negara

Penerjun negara Nurul Farisya Alia Affendi (kiri) and Nur Eili Sha Rania Muhammad Abrar Raj bergambar bersama pingat emas yang dimenangi mereka menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita hari ini. - Foto Bernama
BANGKOK: Selepas dua hari menunggu penuh debaran, kem terjun negara akhirnya memecah kebuntuan kilauan emas pada Sukan SEA Thailand 2025 apabila menamatkan penantian dengan menjuarai acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada hari terakhir pertandingan di Samut Prakan hari ini.
Ringkasan AI
- Gandingan Nurul Farisya Alia Affendi-Nur Eilisha Rania Abrar Raj meraih pingat emas acara 10m platform seirama wanita di Sukan SEA Thailand 2025 dengan mengumpulkan 548.4 mata, menjadikan mereka juara baru dalam acara tersebut.
- Nur Eilisha dan Nurul Farisya berucap bangga selepas kemenangan tersebut, menyatakan bahawa perjuangan mereka untuk mencapai kejayaan itu tidak datang dengan mudah.
- Kejayaan mereka menandakan penutupan yang bergaya bagi penampilan sulung mereka di Sukan SEA, setelah sebelum ini Nurul Farisya hanya menduduki tempat keempat dalam acara platform wanita pada Sukan SEA 2023.
Pasangan Indonesia, Gladies Lariesa Garina Haga–Linar Betiliana, melengkapkan kedudukan podium dengan pingat gangsa dengan mengumpul 211.74 mata.
Nur Eilisha mengakui tekanan semakin dirasai susulan kegagalan Malaysia meraih emas pada hari-hari awal pertandingan, namun memuji peranan jurulatih mereka dan bekas penerjun kebangsaan Ooi Tze Liang yang berjaya menenangkan serta mengekalkan fokus pasangan itu.
“Memang agak tertekan sebelum pertandingan, tetapi kami bertuah kerana mempunyai jurulatih yang sangat positif. Tze Liang menguruskan rasa gugup kami, menaikkan semangat dan sentiasa mengingatkan supaya tidak memberi tekanan kepada diri sendiri.
"Kami berasa sangat bangga kerana bukan mudah untuk kami berjuang hingga ke tahap ini," katanya kepada pemberita selepas upacara penyampaian pingat, di sini.
Penerjun berusia 20 tahun itu turut teruja meraih pingat Sukan SEA pertamanya selepas sebelum ini pulang tanpa sebarang pingat apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat acara platform wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja.
Sementara itu, Nurul Farisya, 16, berkata beliau amat gembira dapat menutup penampilan sulungnya di temasya dwitahunan itu dengan bergaya, sambil menegaskan segala usaha dan latihan keras yang dilalui akhirnya membuahkan hasil.
Sebelum kejayaan hari ini, satu-satunya pingat Malaysia dalam acara terjun adalah gangsa yang diraih Yong Rui Jie dalam acara papan anjal satu meter (m) lelaki, Rabu lalu.
Semalam, dominasi Malaysia dalam acara papan anjal 3m lelaki yang bermula sejak edisi 2005 berakhir, malah lebih mengecewakan apabila tiada penerjun negara berjaya menaiki podium.
Penerjun debutan Elvis Priestly Clement menamatkan saingan di tempat keempat dengan 359.80 mata, manakala Muhammad Syafiq Puteh, pemenang emas edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023, sekadar di tempat kelima dengan 356.30 mata.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


