Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan menerima Anugerah Golden Gavel atas pembabitan beliau serta kepimpinannya dalam dunia komunikasi.

Rohana dipilih berdasarkan peranan yang dimainkannya sehingga meletakkan Astro sebagai syarikat operasi media yang berjaya di Asia.

Dalam ucapan beliau, Rohana berkata wanita juga mempunyai kemampuan yang sama dengan lelaki dan golongan berkenaan perlu berani mencuba.

“Secara realiti, ia bukan sesuatu yang mudah bagi wanita untuk memiliki semuanya. Bagaimanapun, saya berpendapat lebih ramai wanita perlu cuba untuk melakukannya, dan selepas itu segala halangan dapat ditembusi. Satu hari nanti, saya yakin ramai wanita mempunyai peluang yang sama seperti lelaki.

Tambah beliau, adalah sangat penting bagi seseorang mempunyai impian dan visi untuk mencapai cita-cita mereka.

“Hanya apabila kita percaya kepada sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri dan bermakna untuk diperjuangkan,kita akan terus berlari (untuk mengejar cita-cita), "katanya.

Rohana turut memberi penghormatan kepada Allahyarham bapa beliau, yang telah memberi inspirasi kepada beliau sejak muda lagi.

"Saya percaya ayah saya adalah individu yang begitu kenali saya.

"Apabila saya menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di luar negara pada usia 17 tahun, dia menghormati keputusan saya," kata beliau.

Penerima anugerah Golden Gavel sebelum ini adalah Susan Kain, John C. Maxwell, Robin Sharma, Dr Stephen Covey, Zig Ziglar dan Tony Robbins.

Rohana menerima Anugerah Golden Gavel di Konvensyen Antarabangsa Toastmasters yang diadakan pada Jumaat di ibu negara.

Sebelum ini Rohana juga pernah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat CNBC dan Anugerah Silver Stevie pada 2013.

Berikut adalah ucapan penuh Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan: