KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan diumumkan dalam masa terdekat susulan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II berkuat kuasa pada Selasa.

Menerusi kenyataan, KWSP menjelaskan Amir Hamzah telah melaksanakan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan KWSP, serta memberikan komitmen tinggi terhadap kecemerlangan dan inovasi sepanjang perkhidmatannya sebagai CEO.

Antara pencapaian utama beliau termasuk memimpin KWSP melalui pelbagai kitaran ekonomi dan cabaran, di samping mencapai pertumbuhan positif dalam pendapatan pelaburan secara konsisten, tambah dana persaraan itu.

Menurut KWSP, hala tuju strategik dan kepimpinan Amir Hamzah nyata berkesan dalam mengekalkan daya tahan pelaburan dan operasi, selain memastikan KWSP menjadi tonggak kepada jaminan persaraan yang teguh untuk ahli.

"Pihak lembaga, pengurusan dan seluruh kakitangan KWSP mengucapkan tahniah kepada Amir Hamzah atas pelantikan sebagai Menteri Kewangan II dan yakin bahawa kepimpinan beliau akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara," menurut dana persaraan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pada sidang media di sini, Anwar turut mengumumkan penyusunan semula beberapa kementerian berdasarkan keperluan semasa.

Menteri baharu yang dilantik termasuk Amir Hamzah (sebagai Menteri Kewangan II) yang dilantik senator.

Amir Hamzah kini merupakan teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat selepas bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Feb, 2015 hingga 9 Mac, 2020.

Beliau menyertai KWSP -- dana persaraan terbesar negara dari segi pengurusan aset -- sebagai CEO pada Mac 2021.

Sebelum bersama KWSP, beliau ialah Presiden dan CEO Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari April, 2019 hingga Februari, 2021.

-- BERNAMA