Skip to main content

Malaysia

Madrasah, tahfiz perlu diperkasa sebagai benteng akidah umat - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Khatam Sama' Hadis Jami' Al-Tirmidhi dan Al-Syama'il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra hari ini.  -- fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan perasmian Khatam Sama' Hadis Jami' Al-Tirmidhi dan Al-Syama'il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra hari ini. -- fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan memperkasa institusi madrasah, maahad dan tahfiz sebagai benteng akidah dan jati diri umat Islam.
  • Kerajaan meningkatkan peruntukan kepada institusi pendidikan Islam dengan sokongan JAKIM dan YADIM untuk memperkukuh asas pendidikan serta nilai agama.
  • Majlis Khatam Sama' Hadis Jami' al-Tirmidhi dan al-Syama'il al-Muhammadiyyah 2026 dihadiri 10,000 peserta dan 40 ulama antarabangsa serta tempatan di Masjid Putra.
Advertisement

PUTRAJAYA: Institusi madrasah, maahad dan tahfiz perlu terus diperkasa sebagai  benteng penting dalam mempertahankan akidah, akhlak serta jati diri umat Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata institusi berkenaan mempunyai nilai sejarah yang besar dalam mempertahankan identiti dan semangat umat ketika negara-negara Islam berdepan penjajahan.

Anwar berkata ketika zaman penjajahan, sistem politik, pentadbiran, pendidikan, bahasa dan budaya masyarakat turut terkesan akibat pengaruh kuasa asing.

Advertisement

“Pada masa itu, satu-satunya benteng pertahanan kita yang kekal ialah madrasah, maahad, tahfiz dan pesantren yang bukan sahaja menanam dan mempertahankan akidah, akhlak serta sahsiah malah roh perjuangan menentang penjajahan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Khatam Sama' Hadis Jami' al-Tirmidhi dan al-Syama'il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata walaupun negara telah mencapai kemerdekaan, kesan pemikiran penjajah tidak semestinya hilang sepenuhnya dan perkara itu perlu ditangani dengan memperkukuh kembali asas pendidikan serta nilai agama.

Advertisement

Anwar berkata keadaan itu menjadi antara sebab kerajaan memberi perhatian kepada usaha memperkukuh institusi pendidikan Islam termasuk meningkatkan lagi peruntukan bagi madrasah dan tahfiz sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang turut mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Beliau berkata kekuatan dalaman umat Islam juga penting bagi memastikan perubahan yang dibawa negara tidak hanya tertumpu kepada aspek pembangunan fizikal dan ekonomi.

Perdana Menteri juga berkata di sebalik usaha memperkukuh pendidikan Islam, ia perlu disertai dengan komitmen memastikan agama tidak disalah guna sebagai alasan untuk menghalalkan penyelewengan, rasuah, penindasan atau meminggirkan golongan miskin.

Terdahulu, sebanyak 10,000 peserta bersama dengan 40 ulama antarabangsa dan tempatan berhimpun di Masjid Putra di sini dalam Majlis Khatam Sama‘ Hadis Jami‘ At-Tirmidhi dan Syamā’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026.

Majlis itu, yang disempurnakan oleh Anwar, menutup rangkaian pengajian selama 11 hari dengan kemuncaknya menampilkan syarahan dan pengijazahan oleh Mufti Besar India Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Mufti Besar India Syeikh Al-Alamah Syeikh Abu Bakar Ahmad Al-Malibari dan ulama tersohor dunia Islam Syeikh Dr Usamah Said Mahmud Muhammad Saad Al-Azahari.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video

Advertisement