KUALA LUMPUR: CGS-CIMB telah menaikkan unjuran tahun 2022 untuk trafik domestik di lapangan terbang yang diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sebanyak 21 peratus kepada 85 peratus daripada 70 peratus asas prapandemik pada 2019 berikutan pembukaan sempadan yang lebih awal daripada jangkaan.

Syarikat penyelidikan itu turut menyemak semula unjuran trafik antarabangsa tahun 2022 kepada 40 peratus daripada 25 peratus pada asas prapandemik.

"Unjuran baharu kami adalah munasabah kerana pada Februari 2022, trafik domestik Malaysia sudah mencapai 69 peratus daripada asas 2019, dan kami menjangkakan syarikat penerbangan baharu, MYAirline akan memulakan operasi mulai Ogos," kata penganalisis Raymond Yap dalam nota hari ini.

CGS-CIMB menjangkakan sempadan antarabangsa negara akan dibuka semula pada pertengahan 2022, sebaliknya kerajaan telah memutuskan untuk membuka semula mulai 1 April.

AirAsia dan Malaysia Aviation Group (MAG) dilaporkan berkata mereka menyasar untuk mendapatkan kembali, masing-masing 90 peratus dan 70 peratus kapasiti penumpang sebelum COVID-19 menjelang akhir 2022.

Oleh itu, CGS-CIMB percaya kapasiti sebahagian besarnya adalah bersifat antarabangsa, memandangkan kedua-dua syarikat penerbangan itu menumpukan pada pemulihan kapasiti domestik sejak enam bulan lepas.

Yap berkata pemulihan trafik domestik dan antarabangsa mungkin juga daripada Malindo Air dan AirAsia X (AAX), yang mana kedua-duanya telah mengurangkan penerbangan masing-masing dengan ketara semasa penularan pandemik.

"Malindo mungkin memindahkan kembali ke Malaysia beberapa daripada 24 Boeing 737 yang telah dipindahkan ke Indonesia dalam tempoh dua tahun lepas manakala AAX mungkin memulihkan beberapa perkhidmatan penumpang jarak sederhananya jika hasil kargo boleh terus membayar kos penerbangan memandangkan perolehan kargo yang tinggi pada masa ini," katanya.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), beliau berkata unjuran trafik penumpang antarabangsa untuk 2022 kini lebih tinggi sebanyak 18 peratus hingga 100 peratus, berbanding 85 peratus asas pra-COVID.

"Kami telah pun mengambil kira bahawa penerbangan Rusia dan Ukraine dari ISG telah digantung; ini menyumbang sembilan hingga 10 peratus daripada trafik penumpang ISG pada 2019," katanya.

-- BERNAMA