China mengimport 3.9 juta tan metrik minyak sawit dari Malaysia yang bernilai US$4.35 bilion (kira-kira RM13.26 bilion) pada 2011, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

"Import minyak sawit itu menambah hampir 70 peratus daripada jurang penawaran dan permintaan bagi minyak dan lelemak di China," katanya.

Beliau menggesa peniaga minyak sawit Malaysia dan China supaya menjalin hubungan perniagaan berdasarkan kepentingan bersama pertumbuhan yang lebih besar bagi industri minyak sawit dan lelemak.

Kebolehsesuaian minyak sawit serta harga yang kompetitif memberikan ruang yang luas untuk peningkatan kegunaan dengan kemakmuran ekonomi China yang semakin meningkat, pertambahan penduduk, perbandaran yang pesat dan taraf hidup yang lebih baik, katanya pada perasmian Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-China (POTS) keempat pada Khamis.

Dompok turut menggalakkan ahli perniagaan Malaysia dan Cina supaya mengadakan pakatan dalam perniagaan minyak sawit.

"Sebelum ini kita telah menunjukkan daya maju dan kejayaan perkongsian strategik melalui usaha sama antara syarikat Malaysia dan rakan-rakan mereka di Belanda, China, Jepun, Pakistan, Bangladesh, Vietnam dan Liberia.

"Ini merupakan beberapa contoh yang banyak bagaimana Malaysia telah membina pakatan strategik dengan rakan kongsi utama untuk mendapat kejayaan dalam pasaran, bukan sahaja dengan menjual atau mengeksport minyak sawit, tetapi juga oleh memainkan peranan utama dalam membangunkan aktiviti hiliran di negara pengimport," katanya.

Dompok memberitahu sidang akhbar kemudiannya bahawa struktur cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) baru yang akan diperkenalkan pada Januari 2013 bakal menyediakan persaingan yang sama kepada syarikat-syarikat Malaysia dan industri hiliran dalam sektor minyak sawit.

Beliau berkata struktur cukai eksport baru, daripada 23 peratus pada masa ini kepada antara 4.5 peratus dan 8.5 peratus, akan menjadikan kilang penapis Malaysia lebih kompetitif dengan negara-negara lain.

"Oleh itu, bahagian Malaysia di pasaran dunia akan dipertingkatkan," tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Lee Yeow Chor berkata minyak sawit boleh memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sektor makanan segera dan katering.

"Menurut anggaran industri pada 2011, di China, minyak sawit yang diimport digunakan terutamanya untuk menghasilkan oleokimia, sabun, mi segera dan menggoreng serta sektor katering dan makanan segera, yang masing-masing dianggarkan menguasai enam peratus, 16 peratus, 20 peratus dan 31 peratus, " kata beliau.

Minyak sawit yang digunakan secara langsung oleh isi rumah menyumbang 22 peratus daripada jumlah yang digunakan, kata Lee.

Beliau berkata jumlah minyak sawit dieksport mungkin akan menjadi lebih kurang sama dengan 18 juta tan metrik tahun lepas, memandangkan minyak sawit terus kukuh sebagai komoditi makanan utama di dunia, dan pada harga yang sangat berpatutan untuk orang ramai.

POTS China 2012, yang bertemakan 'Meningkatkan Perkongsian, Mengukuhkan Inovasi Melalui Minyak Sawit Malaysia', dianjurkan bersama oleh MPOC dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan kerjasama Pusat Pembangunan dan Bursa (DEC) Pentadbiran Bijian Negara China.

Acara itu yang bertujuan menarik usahawan baru dari China untuk menjalankan perdagangan minyak sawit, menarik kira-kira 300 peserta dari Malaysia dan China.