BISNES
CIMB: Sebahagian eksport semikonduktor Malaysia mungkin dikecuali tarif AS

AS mungkin perlu mempertimbangkan kerumitan rantaian bekalan semikonduktor kerana pemindahan semula pengeluaran akan mengambil tempoh yang lama. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ahli ekonomi CIMB Treasury and Markets Research yakin sebahagian daripada eksport semikonduktor Malaysia mungkin layak menerima pengecualian daripada tarif 100 peratus Amerika Syarikat (AS) ke atas cip yang diimport.
Ketua penyelidikan Michelle Chia dan ahli ekonomi kanan Azri Azhar berkata ini memandangkan kehadiran syarikat AS dan syarikat multinasional (MNC) yang bergantung pada rantaian bekalan cip Malaysia dan pada masa sama, mempunyai perbelanjaan modal yang sedang dilaksanakan atau dirancang di AS.
Terdahulu semalam Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat berkata 65 peratus eksport semikonduktor Malaysia ke AS adalah daripada kalangan syarikat AS yang beroperasi di Malaysia.
Chia dan Azri berkata eksport ini, bersama-sama sebahagian daripada baki 35 peratus daripada syarikat yang mempunyai hubungan dengan AS berkemungkinan masih layak mendapat pengecualian."Walaupun tarif utama (yang diumumkan) agresif, mekanisme pengecualian mungkin melindungi sebahagian daripada sektor semikonduktor Malaysia berikutan kehadiran penting firma AS yang beroperasi dalam rantaian bekalan domestik, dan MNC lain yang pada masa ini beroperasi di Malaysia dan AS," kata kedua-duanya dalam nota penyelidikan malam ini.
Menurut laporan, Presiden AS Donald Trump telah bercadang untuk mengenakan tarif import 100 peratus ke atas semikonduktor, dengan pengecualian kepada syarikat AS yang memindahkan semula pengeluaran ke negara itu.
Bagaimanapun, Chia dan Azri berkata sekiranya pelaksanaan tarif melebihi jangkaan asas iaitu pengecualian 65 peratus, setiap penambahan 10 peratus eksport semikonduktor yang terjejas boleh menyebabkan pengurangan keluaran dalam negara kasar sebanyak 0.29 peratus.
Mereka berpandangan bahawa dalam tempoh yang singkat, AS mungkin perlu mempertimbangkan kerumitan rantaian bekalan semikonduktor kerana pemindahan semula pengeluaran akan mengambil tempoh yang lama.
"Kami juga yakin pentadbiran AS akan memberikan perhatian mengenai potensi kesan tarif yang dinaikkan ke atas pendapatan korporat dan harga pengguna," kata Chia dan Azri.
Bagaimanapun, katanya dalam jangka panjang, syarikat-syarikat ini mungkin terpaksa memindahkan pengeluaran mereka, yang berpotensi menjejaskan keputusan pelaburan pada masa depan.
Menurutnya Malaysia telah mengeksport produk semikonduktor bernilai RM437.5 bilion ke seluruh dunia pada 2024, dengan RM56.2 bilion daripadanya dihantar ke AS.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami