KUALA LUMPUR: Ikatan Komuniti Selamat menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja, yang kini menjadi ancaman kesihatan awam dan memerlukan tindakan segera serta bersepadu.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, alat yang pada asalnya untuk membantu orang dewasa berhenti merokok kini bertukar menjadi trend berbahaya dalam kalangan golongan muda, sekali gus mendedahkan mereka kepada ketagihan nikotin pada usia terlalu muda dan risiko kesihatan yang serius.
Beliau berkata, pembungkusan yang menarik, pelbagai perisa digemari, pemasaran agresif secara dalam talian serta akses yang mudah telah menyumbang secara signifikan kepada peningkatan populariti rokok itu dalam kalangan pelajar.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah kemunculan produk vape haram yang mengandungi bahan berbahaya, yang boleh memberikan kesan serius terhadap kesihatan fizikal dan mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata, isu itu tidak seharusnya dianggap sebagai masalah disiplin semata-mata, sebaliknya perlu dilihat sebagai isu kesihatan awam yang lebih meluas dan memerlukan pendekatan melibatkan seluruh lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, sekolah, pihak berkuasa kesihatan, agensi penguat kuasa, pemimpin komuniti serta media bagi menangani masalah itu dengan lebih berkesan.
Bagi menangani ancaman yang semakin membimbangkan itu, Lee mencadangkan beberapa intervensi utama termasuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap penjualan produk berkenaan kepada golongan bawah umur, serta menjalankan pemeriksaan berkala di kawasan sekitar sekolah dan institusi pendidikan.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa memperketat kawalan terhadap penjualan dan iklan secara dalam talian yang menyasarkan golongan muda, di samping memperhebat program pendidikan serta kesedaran mengenai bahaya rokok elektronik.
Selain itu, ibu bapa perlu lebih peka terhadap aktiviti dan pengaruh rakan sebaya anak-anak mereka, selain menyediakan perkhidmatan kaunseling dan sokongan kepada pelajar yang telah mengalami ketagihan nikotin.
Beliau berkata, persekitaran institusi pendidikan dan sekolah perlu bebas daripada produk berkenaan dan mereka yang didapati menghisapnya perlu diberikan bimbingan melalui program kaunseling serta pemulihan, bukan sekadar dikenakan hukuman.
“Masa depan negara bergantung kepada kesihatan dan kesejahteraan generasi muda. Kita perlu bertindak tegas bagi mengelakkan masalah vape berkembang menjadi krisis kesihatan awam yang lebih serius dalam kalangan belia Malaysia,” kata Lee.
-- BERNAMA