WASHINGTON: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani menerima tiket VIP percuma bagi beberapa perlawanan Piala Dunia FIFA, menurut New York Post yang memetik wakil beliau, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Jurucakap Datuk Bandar, Dora Pekec, mengesahkan kepada penerbitan itu bahawa Mamdani menerima tiket eksklusif percuma bagi beberapa perlawanan Piala Dunia, sambil menegaskan semua perkara dilakukan mengikut undang-undang.
“Memandangkan sifat unik Piala Dunia dan peluang sekali seumur hidup bagi New York menjadi bandar tuan rumah, datuk bandar akan menghadiri beberapa perlawanan terpilih di Stadium MetLife atas kapasiti rasmi bagi melaksanakan fungsi rasmi sebagai ketua eksekutif bandar tuan rumah,” kata Pekec.
Jurucakap itu turut berkata, Mamdani mempunyai obligasi kontrak untuk menghadiri perlawanan bersama Jawatankuasa Tuan Rumah Piala Dunia 2026 New York dan New Jersey.
Menurut perjanjian itu, beliau juga diwajibkan menghadiri perlawanan Brazil menentang Maghribi pada Sabtu, yang turut dihadiri isterinya, Rama Duwaji, yang membeli tiket sendiri.
Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung buat kali pertama dengan penyertaan 48 pasukan kebangsaan merentasi tiga negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico. Kejohanan itu dijadual berakhir pada 19 Julai.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI