Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan cadangan pemain industri pelancongan antaranya, pembayaran elektrik mengikut tarif industri dan pengurangan cukai pelancongan, untuk dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 27 Februari ini.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Kamaruddin Baharin berkata, ia merupakan antara 14 cadangan yang telah dikemukakan dalam pertemuan bersama Kementerian Kewangan, sebagai usaha membantu merancakkan industri pelancongan ketika mana Malaysia sedang dilanda COVID-19.

“Ketika ini elektrik hotel dikenakan caj menggunakan tarif komersial, dan bukannya tarif industri. Kita membayar bil tarif yang cukup tinggi, dan ini merupakan kos kedua tertinggi selepas pembayaran gaji.

“Jadi diharap kerajaan dapat menyediakan insentif, sama ada mengembalikan semula pembayaran menggunakan tarif industri, atau diskaun ke atas bil elektrik,” katanya kepada sidang media di Majlis MATTA Fair Cuti-Cuti Malaysia, di sini hari ini.

Pada minggu lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pakej rangsangan yang dicadangkan untuk meningkatkan ekonomi tempatan akan diumumkan pada akhir Februari atau awal Mac untuk mengurangkan impak berikutan penularan COVID-19.

Beliau berkata kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan penggiat industri tempatan untuk mendapatkan input, dan siri mesyuarat yang selanjutnya dengan perniagaan tempatan akan turut diadakan.

BACA: Pakej rangsangan ekonomi diumumkan selewat-lewatnya pada awal Mac

BACA: Pakej rangsangan ekonomi rancakkan pelancongan domestik - Azmin

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pakej rangsangan ekonomi itu akan memberi tumpuan dalam merancakkan lagi industri pelancongan dalam negeri, selain sektor pembinaan dan pelaburan dalam negeri.

Selain itu, Kamaruddin berkata, kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya juga diharap dapat mengurangkan cukai pelancongan dari kadar RM10 semalam bagi menggalakkan lagi permintaan.

Jelasnya lagi, berdasarkan statistik terkini, hotel di seluruh mengalami pembatalan tempahan sehingga 150,000 bilik, dan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM66 juta.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MATTA Nigel Wong berkata, MATTA Fair Cuti-cuti Malaysia yang akan berlangsung pada 4 dan 5 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan menyaksikan lebih 200 pempamer industri pelancongan, yang akan memberi tumpuan kepada produk pelancongan domestik.

“Para pempamer yang dijemput menyertai MATTA Fair terdiri daripada ahli persatuan, serta pemain industri seperti - agensi pelancongan, operator, pemilik hotel, taman tema, serta perkhidmatan berkaitan - yang akan mempromosi pakej menarik di pelbagai destinasi di seluruh Malaysia,” katanya lagi.