Bekas ketua jurulatih hoki remaja negara K Rajan meninggal dunia

Pemergian jurulatih berpengalaman itu merupakan satu kehilangan besar buat sukan hoki negara. - Gambar fail
IPOH: Bekas ketua jurulatih skuad hoki remaja negara dan pengendali pasukan hoki Perak K Rajan meninggal dunia pada usia 68 tahun di sini pagi tadi.
Ringkasan AI
- Bekas ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, K Rajan, meninggal dunia pada usia 68 tahun di Ipoh pagi tadi.
- Rajan, yang juga pengendali pasukan hoki Perak, dikenali sebagai individu pemurah yang sentiasa membantu pihak sekolah dan orang sekeliling.
- Pemergian Rajan merupakan kehilangan besar buat sukan hoki negara, disifatkan sebagai jurulatih berpengalaman yang pernah membawa skuad kebangsaan ke Piala Dunia Remaja pada 2009.
"Saya mengenali Rajan sejak berusia 15 tahun, kami berdua sudah terlibat dengan pelbagai kejohanan hoki di peringkat negeri dan kebangsaan ketika itu.
"Semasa mengendalikan skuad hoki Negeri Sembilan, beliau pernah mengalami masalah paru-paru berair," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sepanjang kariernya sebagai jurulatih, Rajan bekas pemain kebangsaan yang juga anak kelahiran Perak pernah membimbing skuad kebangsaan ke Piala Dunia Remaja pada 2009, selain menjadi pengendali pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selama 12 musim dan terakhir membimbing skuad Singapura dan Thailand.
Mohd Sayuti berkata pemergian jurulatih berpengalaman itu merupakan satu kehilangan besar buat sukan hoki negara.
Beliau berkata mendiang juga sering membantu pihak sekolah membeli peralatan hoki pada harga yang berpatutan selain dikenali sebagai individu yang amat pemurah dan sentiasa membantu orang sekeliling.
"Kami berdua amat rapat, jika pergi ke mana-mana kami akan tidur sebilik. Rajan seorang yang amat baik dan jujur," katanya.
Mohd Sayuti berkata Rajan juga menawarkan khidmat kejurulatihan secara percuma sejak beberapa tahun lepas dengan melatih pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di sini.
Sementara itu, adik perempuan Rajan, Nirmala Abdullah, 60, berkata mendiang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 9.15 pagi di rumahnya di sisi isteri dan anak-anak.
Nirmala berkata mendiang akan disemadikan dalam upacara di Krematorium Ipoh Buntong di Jalan Madras di sini kira-kira 9.30 pagi esok.
Beliau berkata orang ramai serta kenalan boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Heavenly Home Christian Memorial Hall yang beralamat di 79, Jalan Masjid di sini bermula 5 petang hingga 10 malam hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


