Pandemik COVID-19 yang menganggu rantaian bekalan global menyebabkan perdagangan Malaysia pada April 2020 menyusut 16.4 peratus kepada RM133.24 bilion, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Memetik laporan perangkaan perdagangan luar Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataan memaklumkan eksport negara juga susut sebanyak 23.8 peratus menjadi RM64.92 peratus sementara import juga turun sebanyak 8.0 peratus kepada RM68.42 bilion.

Imbangan perdagangan merekodkan defisit sebanyak 3.5 bilion pada April 2202, selepas mencatatkan lebihan dagangan berturut-turut selama 269 bulan, menurut kenyataan itu.

"Perdagangan lebih rendah direkodkan terutamanya dengan Singapura, Thailand, India, Amerika Syarikat (AS), Jepun, Vietnam dan Arab Saudi," kata kenyataan itu di sini, pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, berbanding Mac 2020, jumlah perdagangan dan eksport juga masing-masing menurun sebanyak 9.9 peratus dan 19 peratus manakala import naik 0.9 peratus.



Perdagangan bagi empat bulan pertama tahun ini pula mencatatkan pengurangan sebanyak 3.5 peratus kepada RM573.75 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, mengulas prestasi itu, Menteri Kanan (Kluster Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Al berkata, penurunan eksport dan import itu telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia berada dalam keadaan sekatan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19.

"Ini menyebabkan gangguan utama terhadap aktiviti pembuatan dan pergerakan barangan secara global.

"Namun begitu, eksport beberapa barangan seperti barangan besi dan keluli, sarung tangan getah dan minyak sawit ditapis mencatatkan peningkatan," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau bagaimanapun menjangkakan eksport Malaysia meningkat dalam beberapa bulan akan datang memandangkan kerajaan teleh membenarkan lebih banyak industri untuk kembali beroperasi dengan kapasiti penuh sejak 4 Mei lalu.

Katanya, syarikat-syarikat di negara lain turut meningkatkan operasi perniagaan mereka.

"Ini akan menggalakkan aktiviti-aktiviti perdagangan di antara Malaysia dengan negara-negara lain,” jelasnya.





Sementara itu, melihat pada prestasi eksport, laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia menyatakan barangan besi dan keluli, kelengkapan pengangkutan serta keluaran getah masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 21.5 peratus, 21.8 peratus dan 11.7 peratus meskipun eksport barangan perkilangan menyusut 23.4 peratus tahun ke tahun kepada RM55.5 bilion.

Penurunan barangan perkilangan yang merangkumi 85.5 peratus daripada jumlah eksport kata kenyataan itu adalah disebabkan eksport yang lebih rendah bagi barangan elektrik dan elektronik, barangan perkilangan logam, jentera, kelengkapan dan peralatan, keluaran petroleum serta barangan optik dan saintifik.

Tambah kenyataan itu, eksport keluaran pertanian (syer 7.2 peratus) pula berkurang 13.8 peratus kepada RM4.7 bilion berbanding April 2019 berikutan penurunan eksport kayu gergaji dan kumai.

"Eksport hasil galian (syer 7 peratus) menyusut 31.6 peratus tahun ke tahun kepada RM4.56 bilion.

"Pengurangan ini disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport gas asli cecair dan petroleum mentah," kata kenyataan itu.

Prestasi import pula menurut kenyataan itu, merekodkan penurunan lapan peratus kepada RM68.42 bilion berbanding April 2019.

Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 71.7 peratus daripada jumlah keseluruhan import adalah barang pengantara (RM28.25 bilion), barang modal (RM14.98 bilion) dan barang penggunaan, (RM5.83 bilion).

Sementara bagi tempoh Januari hingga April 2020, import berjumlah RM270.14 bilion, menyusut 1.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2019.

Import barang pengantara bernilai RM144.33 bilion, berkurang 2.5 peratus barang modal (RM32.43 bilion, turun 1 peratus) dan barang penggunaan (RM23.61 bilion, meningkat 0.1 peratus).