awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
UMNO perlu jana pemikiran baharu demi kelangsungan parti - Ahmad Zahid
Nawal Shahirah sudah ditemui dalam keadaan selamat
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

TNB tingkat kesiapsiagaan, pantau risiko bekalan elektrik ketika banjir

Astro Awani
Astro Awani
23/12/2025
07:26 MYT
TNB tingkat kesiapsiagaan, pantau risiko bekalan elektrik ketika banjir
Mahathir Nor berkata TNB amat prihatin dalam usaha mitigasi bencana dengan melaksanakan pelbagai langkah awal termasuk penutupan pencawang elektrik secara sementara di kawasan terjejas demi mengelakkan risiko renjatan elektrik kepada orang awam.
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan bekalan elektrik serta kebajikan pengguna sentiasa terpelihara ketika bencana banjir, khususnya sepanjang tempoh Monsun Timur Laut yang dijangka memberi kesan kepada kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia tahun ini.

Ringkasan AI
  • TNB memperkukuh kesiapsiagaan dan langkah mitigasi untuk memastikan keselamatan bekalan elektrik dan kebajikan pengguna terpelihara ketika bencana banjir, khususnya sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.
  • Langkah-langkah mitigasi TNB termasuk penutupan sementara pencawang elektrik di kawasan terjejas, meninggikan aras pencawang, dan pendidikan kesedaran kepada masyarakat tentang keselamatan elektrik semasa banjir.
  • TNB menggunakan pelan pengurusan bencana, pasukan siapsiaga khas, dan sistem pemetaan FARA untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, serta menasihati orang ramai untuk mengelakkan risiko elektrik sepanjang musim banjir.

Menurut Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail, bencana banjir pada 2025 dijangka lebih mencabar berikutan ketidaktentuan peralihan monsun yang membawa ribut petir, hujan lebat serta angin kencang.
Beliau berkata TNB amat prihatin dalam usaha mitigasi bencana dengan melaksanakan pelbagai langkah awal termasuk penutupan pencawang elektrik secara sementara di kawasan terjejas demi mengelakkan risiko renjatan elektrik kepada orang awam.
“Antara langkah yang dilaksanakan ialah menggerakkan warga kerja serta aset TNB untuk memulihkan bekalan sebaik keadaan selamat, di samping mengurus risiko aset rangkaian seperti meninggikan aras pencawang dan membina pelindung banjir di lokasi yang pernah dinaiki air sebelum ini,” katanya dalam AWANI Pagi.
AWANI Pagi: Waspada semasa musim banjir bersama TNB
Menurut beliau, TNB turut memberi tumpuan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat berhubung keselamatan elektrik semasa banjir melalui pelbagai saluran media konvensional dan digital.
Dalam menghadapi musim banjir pada masa hadapan, beliau berkata TNB telah mengaktifkan Pelan Pengurusan Bencana termasuk pembentukan pasukan siapsiaga khas yang memantau kawasan berisiko tinggi.
“Tahun ini, sebanyak 236 set janakuasa mudah alih, 415 set janakuasa bergerak, 761 unit lori, 40 buah bot serta 890 kenderaan pacuan empat roda ditempatkan di lokasi strategik bagi membolehkan pemulihan bekalan dilakukan dengan segera sebaik keadaan mengizinkan,” katanya.
Beliau berkata kawasan berisiko dikenal pasti berdasarkan maklumat daripada agensi berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta data banjir terdahulu.
Selain itu, TNB menggunakan sistem pemetaan masa nyata dikenali sebagai Flood Analysis and Risk Assessment (FARA) bagi mengenal pasti pepasangan yang berisiko dilanda banjir, sekali gus membolehkan tindakan proaktif seperti rondaan dan perancangan awal dilaksanakan.
“Melalui FARA, kami dapat membuat perancangan dengan lebih teliti agar keselamatan orang awam serta pepasangan TNB sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut memaklumkan lebih 539 pencawang elektrik di seluruh negara telah dinaik taraf sebagai sebahagian daripada langkah mitigasi, termasuk pemasangan penghadang banjir dan menaikkan struktur pencawang di kawasan berisiko tinggi.
Mengulas aspek keselamatan, Mahathir menegaskan TNB akan memutuskan bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, dan bekalan hanya disalurkan semula selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.
“Keselamatan orang ramai dan pekerja adalah keutamaan kami. Semua warga kerja dilengkapi peralatan keselamatan mencukupi dan tidak dibenarkan berada di lokasi berbahaya seperti kawasan berarus deras,” katanya.
Antara cabaran utama yang dihadapi TNB ketika banjir ialah kesukaran akses ke kawasan terjejas akibat jalan rosak atau terputus, selain kerosakan pepasangan akibat arus banjir yang kuat, yang memerlukan penilaian risiko teliti sebelum kerja pembaikan dilakukan.
Sehubungan itu, TNB menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko elektrik sepanjang musim banjir, termasuk menutup suis utama sebelum berpindah, mengelakkan sentuhan kabel atau pepasangan yang terendam, serta tidak meredah air berhampiran talian elektrik.
Selepas banjir surut, pengguna disaran memastikan papan litar utama dan peralatan peralatan elektrik dimatikan sebelum membersihkan rumah dan mendapatkan khidmat juruelektrik bertauliah bagi pemeriksaan pendawaian jika perlu.
Bagi mempercepatkan pemulihan bekalan, TNB menggerakkan pasukan teknikal terlatih termasuk bantuan dari negeri lain, selain bekerjasama rapat dengan agensi tempatan bagi memastikan akses ke kawasan terjejas dan pemeriksaan keselamatan dapat dilakukan dengan segera.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita palsu atau tidak sahih, seperti dakwaan berkaitan penutupan bekalan elektrik di pencawang atau pelepasan air dari empangan, dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi. Maklumat terkini boleh diperoleh melalui aplikasi myTNB atau media sosial rasmi TNB.
Sekiranya terdapat sebarang gangguan bekalan atau kejanggalan pepasangan, laporan boleh dibuat melalui talian 15454, mesej peribadi di Facebook TNB CareLine, Direct Message di X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke [email protected].
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini
Topic Berkaitan
#banjir
#TNB
#monsun timur laut
#peralatan elektrik
#risiko
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan