KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia melepasi aras RM2 trilion bagi tahun ketiga berturut-turut apabila mencecah RM2.64 trilion pada 2023, meskipun berdepan landskap ekonomi global yang tidak menentu, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pencapaian itu juga mengekalkan trend lebihan dagangan untuk tahun ke-26 berturut-turut sejak 1998 yang berjumlah RM214.1 bilion.

Dalam kenyataannya hari ini, MITI berkata di sebalik lebihan itu, penurunan perdagangan tahun ke tahun sebanyak 7.3 peratus berbanding 2022 adalah sejajar dengan pengurangan dalam permintaan global, harga komoditi lebih rendah, ketegangan geopolitik berpanjangan, kadar inflasi tinggi, penyusutan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas tinggi direkodkan pada tahun lepas.

"Harga komoditi lebih rendah terus memberi kesan kepada prestasi perdagangan, khususnya minyak sawit mentah, petroleum mentah serta gas asli cecair (LNG).

"Ketegangan geopolitik seperti konflik Amerika Syarikat (AS)-China, Rusia-Ukraine serta di Timur Tengah turut menjejaskan ekonomi global dan mempengaruhi permintaan terhadap barangan eksport Malaysia manakala inflasi global tinggi telah mengurangkan kuasa beli dalam kalangan pengguna di negara pengimport," katanya.

Menjelaskan selanjutnya, MITI berkata eksport negara menguncup sebanyak lapan peratus tahun ke tahun kepada RM1.426 trilion pada 2023 -- melebihi nilai RM1 trilion bagi tiga tahun berturut-turut dan mencapai 82.4 peratus daripada unjuran eksport pada 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Walaupun susut, kata MITI, eksport negara bagi peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (IC) sebaliknya telah mencatat pertumbuhan yang positif.

Produk petroleum turun 11 peratus kepada RM143.49 bilion; kimia dan bahan kimia susut 11.3 peratus kepada RM71.46 bilion; jentera, kelengkapan dan peralatan berkurangan 5.2 peratus kepada RM57.28 bilion dan barangan perkilangan logam menguncup 11.4 peratus kepada RM56.33 bilion.

MITI berkata jumlah import pada 2023 melepasi paras RM1 trilion untuk kali kedua dan susut sebanyak 6.4 peratus kepada RM1.21 trilion berbanding setahun lepas.

Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir adalah masing-masing barangan pengantara bernilai RM620.87 bilion, barangan modal (RM128.83 bilion) dan barangan penggunaan (RM104.1 bilion) yang menyumbang 70.5 peratus daripada jumlah import.

Rakan dagang utama Malaysia bagi 2023 adalah ASEAN, China, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun yang mewakili 67.7 peratus bahagian daripada jumlah perdagangan Malaysia.

"Walaupun prestasi eksport lemah pada 2023, kenaikan eksport ketara telah direkodkan ke beberapa pasaran baharu seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi, Puerto Rico, Namibia dan Kyrgyzstan.

"Eksport ke beberapa pasaran perjanjian perdagangan bebas (FTA) turut mencatat pertumbuhan terutamanya ke Korea Selatan, Australia, Mexico, Turkiye dan New Zealand meskipun eksport keseluruhan ke negara rakan dagang FTA menyusut," katanya.

Di samping pemulihan perdagangan global, MITI berkata FTA khususnya Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka memperluaskan lagi prospek positif bagi perdagangan luar Malaysia.

Pada masa sama, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) turut memberi penekanan kepada peningkatan dalam penggunaan FTA dalam kalangan pengeksport Malaysia.

Menurut MITI, bagi kemajuan masa depan, kerajaan akan terus memperkasa aktiviti promosi perdagangan antarabangsa agar dapat memperkukuh daya tahan perniagaan, seterusnya mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi.

Ini akan turut disokong oleh inisiatif di bawah Kajian Separuh Penggal RMK12, Pelan Tindakan Perdagangan Nasional (NTBp) dan NIMP 2030.

"Prestasi perdagangan Malaysia dijangka pulih pada 2024, sejajar dengan unjuran oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) bahawa jumlah perdagangan global berkembang sebanyak 3.3 peratus.

"Pada 2024, perdagangan Malaysia diunjur berkembang sebanyak 5.0 peratus manakala eksport dan import masing-masing dianggarkan meningkat sebanyak 5.1 peratus dan 4.9 peratus sebagaimana menurut Tinjauan Ekonomi 2024 dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.



-- BERNAMA