KUALA LUMPUR: Lebih banyak syarikat Malaysia digesa agar mempertimbang usaha melabur dalam industri semikonduktor yang mampu melonjakkan kedudukan dalam keseluruhan ekosistem di peringkat global.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan walaupun Malaysia merupakan pemain utama dalam sektor semikonduktor global sejak lebih 50 tahun lepas.

"Kita kini mahu terus meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai di semua peringkat. Namun, pada masa sama, kita juga mahu lebih banyak syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pembangunan ekosistem ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Program Industrial Take Off Year 2024 anjuran Concorde Club di Wisma Bernama, pada Khamis.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, MITI sedang dalam proses untuk menginstitusikan proses berkaitan dan mempelawa perniagaan tempatan untuk melabur dalam sektor berkenaan.

Malaysia juga, katanya, telah menyaksikan impak memberangsangkan dari segi aliran masuk modal dan pelaburan susulan ketegangan antara dua kuasa dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Laporan sebelum ini merujuk Malaysia sebagai destinasi tidak dijangka dan muncul pemenang utama dalam industri semikonduktor global ketika berlakunya perang perdagangan antara AS dan China.

Malah, kalangan pengilang di Malaysia sedang memanfaatkan peluang bagi meningkatkan skala operasi masing-masing dan memperluas jejak pasaran global ketika pengilang daripada dua kuasa global yang saling bersaing itu berdepan dengan kekangan bekalan. - BERNAMA