KUALA LUMPUR:Pelaksanaan dasar negara perlu diseragamkan seiring usaha mengeluarkan Malaysia dari perangkap ekonomi negara membangun.

Pengarah Urusan (Asia Tenggara), Allied Investment Partners, Singapura, Nazim Rahman berkata dasar yang dilaksanakan ketika ini bukan sahaja tidak bersepadu, malah dilihat tidak konsisten.

Jelasnya, Malaysia memfokuskan pemajuan sektor perindustrian yang bermula lewat 1980-an, namun fokus itu beralih kepada sektor perkhidmatan sekitar tahun 2000.

"Kita belum matang dalam proses industri ini, tetapi kita sudah berpindah ke sektor perkhidmatan.

"Ia seperti sektor perkhidmatan kewangan, penapisan minyak dan hartanah di mana itu yang kita kategorikan sebagai sektor perkhidmatan.

"Itu salah satu sebab bagaimana dasar negara telah menyumbang kepada proses penghentian proses pengindustrian," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelasnya lagi, dasar ekonomi negara pada ketika ini perlu berjalan seiring dan bukan bergantung kepada kementerian tertentu sahaja.

Mengambil contoh usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berinovasi, Nazim berkata dasar tersebut tidak boleh dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) atau Kementerian Kewangan (MOF) sahaja.

Sebaliknya, dasar pendidikan dan buruh juga perlu perlu diubah seiring menyokong inisiatif tersebut.

"Apabila dasar pendidikan tidak diubah seiring usaha melahirkan tenaga kerja yang bersesuaian dengan keperluan seperti meningkatkan inovasi, sudah tentu kita tidak boleh keluar daripada perangkap pendapatan menengah itu tadi.

"Jadi sebab itu saya menganjurkan supaya kita mengambil pendekatan 'whole government' atau keseluruhan kerajaan perlu dipersatukan dari segi dasar-dasar termasuk pelaksanaannya," jelas beliau.

Beliau berharap kerajaan mempertimbang pelaksanaan pendekatan dasar yang menyeluruh dalam usaha mencapai objektif menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.