KUALA LUMPUR: Dialog MITI 2024 telah diakhiri dengan satu tekad yang utuh untuk pelaksanaan berdisiplin, serta kerjasama lebih erat awam-swasta.

Ini bertujuan untuk memastikan agenda perindustrian semula Malaysia, seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 kekal berada di landasannya.

Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam ucapan penutupnya menggariskan beberapa isu utama seperti mempersiapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap pendedahan ESG melalui rangka kerja ESG industri kebangsaaan (i-ESG) serta menangani jurang bakat dalam industri pembuatan menarik pelaburan langsung asing yang disasarkan.

Katanya, ini untuk memastikan industri menerapkan penggunaan teknologi baharu secepat mungkin.

Tengku Zafrul turut menegaskan, sesuatu dasar hanyalah berkesan jika pelaksanaannya dijalankan dengan betul.

Pelaksanaan NIMP adalah penting bagi Malaysia untuk terus meningkatkan daya saing landskap perniagaan dan pelaburan negara, kata beliau.

Ujarnya, ini untuk memastikan industri menerapkan penggunaan teknologi baharu secepat mungkin.

MITI kini sedang membangunkan papan pemuka (dashboard) untuk NIMP dan indikator utama lain untuk semua dasar di bawah MITI bagi memudahkan pihak industri dan orang awam memantau kemajuan pelaksanaan dasar-dasar tersebut.

Dalam tempoh pelaksanan dasar, beliau berkata juga perlu berani untuk menyemak sasaran dan menambah baik dasar tersebut jika perlu.

MITI terlebih dahulu telah menerima serahan sebanyak 60 memorandum, merangkumi 32 kategori, dan sejumlah 163 isu.

Menurut MITI dalam satu kenyataan, ini mencerminkan minat dan komitmen yang mendalam dari pihak industri dan agensi untuk menyumbang kepada penambahbaikan dan pelaksanaan dasar berkaitan industri untuk memajukan lanskap pelaburan dan perdagangan negara.

Para pemimpin industri dan wakil dewan perniagaan juga telah menyatakan komitmen mereka untuk mengeratkan lagi kerjasama dengan kerajaan dalam memacu pelaksanaan dasar negara bagi mencapai objektif seperti yang digariskan dalam NIMP 2030, tambah MITI.

Dengan semangat kenegaraan (whole-of-nation), MITI berharap untuk terus memperkukuhkan kerjasama dan perkongsian dengan pelbagai pihak berkepentingan lain untuk memacu perindustrian semula negara ke arah pemerkasaan ekonomi Malaysia ke peringkat seterusnya.

Dialog MITI 2024 dihadiri oleh hampir 300 peserta terdiri daripada wakil 103 persatuan industri, dewan perniagaan dan majlis perniagaan, serta 24 kementerian/agensi termasuk MITI dan agensi-agensi di bawahnya.