KUALA LUMPUR: Perniagaan Dagang NeXchange Bhd (DNeX) yang pelbagai meletakkan syarikat itu pada kedudukan yang kukuh untuk menampan persekitaran yang dijangka mencabar pada 2023.

Perniagaan DNeX meliputi sektor teknologi, tenaga serta teknologi maklumat.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata pelaburan strategik syarikat dalam SilTerra Malaysia Sdn Bhd dan Ping Petroleum Ltd telah melonjakkan DNeX ke tahap lebih tinggi, didorong oleh kejayaan pemulihan faundri wafer semikonduktor serta sumbangan berulang daripada operator minyak dan gas huluan.

Beliau berkata dalam segmen teknologi, yang diljalankan oleh SilTerra, pengembangan kapasiti sebanyak 10 peratus yang dijadualkan selesai pada separuh pertama 2023 akan membolehkan syarikat itu menambah lebih banyak kapasiti kepada pembuatan teknologi pesat membangun bagi kemampanan jangka panjang.

"Usaha untuk meningkatkan pengeluaran Kluster Anasuria Ping di Laut Utara, United Kingdom, sedang dijalankan. Penyiapan pemasangan semula paip khas dan pemulihan penyelenggaraan utama dijangka meningkatkan kadar pengeluaran medan.

"Kami yakin perniagaan tenaga kami menerusi Ping akan terus berkembang sebagai syarikat yang diterajui Malaysia dan memperluas serta membuka potensi aset lain di rantau UK dan Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam sektor IT, Syed Zainal Abidin berkata transaksi Jendela Tunggal Nasional (NSW) telah berkembang susulan penarikan balik sekatan akibat COVID-19, dan trend ini berkemungkinan meningkat dalam beberapa bulan akan datang sejajar dengan perayaan bermusim.

DNeX juga memperluas kehadirannya ke pasaran serantau dan antarabangsa melalui kerjasama strategik dengan syarikat IT utama dan multinasional terkemuka, katanya.

Beliau berkata DNeX teguh dari segi tumpuan untuk membina daya tahan merentas segmen perniagaannya bagi tujuan menghasilkan pulangan mampan melalui pengoptimuman kos dan kecekapan operasi.

DNeX juga mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Abd Rahman Mamat sebagai pengerusi.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, DNeX memaklumkan bahawa sebab peletakan jawatan itu adalah "untuk seiring dengan amalan tadbir urus korporat yang baik dan untuk mencapai kepentingan korporat lain".

-- BERNAMA