Skip to main content

Bisnes

Teruskan momentum, ringgit ditutup mengukuh berbanding mata wang utama dan ASEAN

71762835969_matawangringgit.jpg
Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 3.9625/9680 berbanding dolar AS daripada 3.9795/9845, semalam. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama, termasuk dolar Amerika Syarikat (AS) selain ASEAN pada hari urus niaga terakhir minggu ini, dipacu oleh minat belian berterusan di tengah-tengah sentimen optimis namun berhati-hati susulan perkembangan di Asia Barat.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh ke paras 3.9625/9680 berbanding dolar AS daripada 3.9795/9845, semalam.

Advertisement

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kekal memberi tumpuan terhadap perkembangan di Iran susulan gencata senjata yang sedang dilaksanakan serta potensi pembukaan semula Selat Hormuz yang terus mempengaruhi sentimen semasa.

Bagaimanapun, beliau berkata ketidaktentuan itu turut mendorong kepada lonjakan harga minyak dengan West Texas Intermediate (WTI) serta minyak mentah Brent masing-masing menokok 1.73 peratus dan 1.83 peratus kepada US$99.56 setong dan US$97.69 setong, hari ini.

“Pada masa sama, Indeks Dolar AS (DXY) naik 0.11 peratus kepada 98.932 mata, malah kekal di bawah paras 100 mata sejak beberapa hari lepas,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga menyifatkan pasaran tukaran mata wang juga sedang memberi reaksi terhadap semua perkembangan yang berlaku.

Mohd Afzanizam berkata ringgit misalnya terbukti mengekalkan momentum pengukuhannya sepanjang sesi urus niaga hari ini, walaupun kebanyakan mata wang serantau lain diniagakan lebih rendah berbanding dolar AS.

Sewaktu ditutup, ringgit diniagakan meningkat berbanding kumpulan mata wang utama lain, termasuk naik berbanding pound Britain kepada 5.3248/3322 daripada 5.3337/3404.

Ringgit juga meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4882/4918 daripada 2.5028/5061 dan naik berbanding euro kepada 4.6401/6465 daripada 4.6457/6515 berbanding penutupan semalam.

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit turut diniagakan lebih tinggi.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1093/1139 daripada 3.1204/1246, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 231.6/232.0 daripada 232.8/233.2, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3289/3525 daripada 12.3976/4201 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.66/6.67 sebelum ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video