Konglomerat automotif DRB-Hicom Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Saab AB dari Sweden yang akan menggariskan kerjasama perindustrian berkaitan bahagian pindahan teknologi dan kepakaran ke Malaysia.

DRB-Hicom berkata MoU itu meningkatkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua syarikat yang telahpun memeterai Perjanjian Kerjasama Perindustrian di Lima 2011 untuk bekerjasama dalam Sistem Kawalan dan Amaran Awal Bawaan Udara.

"Kerjasama itu berdasarkan kepada pengalaman luas, kekuatan dan kepakaran kedua-dua syarikat, dalam menyokong program pertahanan kerajaan dengan penyelesaian yang akan meningkatkan keupayaan operasi Malaysia," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

MoU itu dimeterai oleh Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Seri Khamil Jamil manakala Saab diwakili oleh presiden dan ketua pegawai eksekutifnya bagi Asia Pasifik, Dan Enstedt.

DRB-Hicom berkata menerusi MoU itu kedua-dua pihak bersetuju meneroka pelbagai bahagian kerjasama yang termasuk reka bentuk dan pembuatan sistem dan komponen komposit canggih bagi tentera dan aplikasi aeroangkasa komersil, teknologi pembaikan komposit, dan penyepaduan sistem peperangan elektronik, avionik dan sistem bawaan udara lain.

"Gabungan kecekapan dan keupayaan kedua-dua syarikat akan menyediakan produk dan penyelesaian yang paling efektif dan efisien dari segi kos yang akan ditawarkan kepada kerajaan Malaysia di masa depan," kata syarikat itu.