DRB-Hicom Bhd hari ini menafikan bahawa pihaknya membeli 11 peratus kepentingan dalam syarikat media tersenarai, Media Prima Bhd (MPB) dan mungkin membeli lagi lapan peratus saham MPB yang dimiliki Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

"Kami ingin menyangkal kenyataan dalam laporan berkenaan," menurut DRB-Hicom dalam kenyataan.

Dilaporkan pada hari ini, DRB-Hicom yang dikuasai Tan Sri Syed Mokhtar Shah Syed Nor Albukhary, membeli pegangan 11 peratus kepentingan dalam MPB yang dimiliki UMNO, dengan memetik sumber yang tidak dinamakan.

Hari ini, The Edge Financial Daily juga melaporkan DRB-Hicom merekodkan 123.02 juta saham, bersamaan 11.09 peratus modal terbitan syarikat daripada 1.11 bilion saham, didagangkan di luar sistem pasaran semalam.

"Mengikut data Bloomberg, saham itu dibeli dalam satu blok, bernilai RM73.81 juta," menurut laporan terbabit. -- Bernama