e-Invois: Sektor perdagangan borong, runcit dikenal pasti miliki risiko ketirisan hasil tertinggi

Hui Ying berkata sektor itu merekodkan lebih 180 juta penghantaran e-Invois sejak sistem tersebut dilaksanakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sektor perdagangan borong dan runcit dikenal pasti sebagai sektor yang mempunyai risiko ketirisan hasil tertinggi sejak pelaksanaan e-Invois pada 1 Ogos 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
Beliau berkata sektor itu merekodkan lebih 180 juta penghantaran e-Invois sejak sistem tersebut dilaksanakan.
"Ini bukan sahaja menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi, malah membuktikan keberkesanan e-Invois dalam memperkukuh integriti ekosistem percukaian negara melalui rekod transaksi masa nyata, pengurangan manipulasi e-Invois dan penutupan ruang ketirisan hasil," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Low Kian Chuan yang ingin mengetahui sektor yang dikenal pasti mempunyai risiko ketirisan hasil paling tinggi dan bagaimana e-Invois memberi kesan khususnya kepada sektor berkenaan.
Berdasarkan analisis pematuhan dan corak transaksi, katanya sektor yang dikenal pasti mempunyai risiko ketirisan hasil paling tinggi merangkumi sektor perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan profesional tertentu dan aktiviti perniagaan yang banyak berurusan secara tunai.
Katanya pendekatan e-Invois penting untuk memastikan hasil negara dipelihara supaya kerajaan terus mampu menyalurkan lebih banyak bantuan dan perkhidmatan sosial kepada rakyat terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan PMKS yang memerlukan sokongan berterusan dalam ekonomi yang mencabar.
Hui Ying berkata e-Invois kini berada pada fasa ketiga selepas setahun pelaksanaannya, melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan RM5,000,000 hingga RM25,000,000 bermula 1 Julai lepas.
"Tahap penerimaan dan pematuhan pembayar cukai terhadap pelaksanaan e-Invois adalah amat memuaskan.
"Ini dapat dilihat pada 26 November lepas, seramai 108,579 pembayar cukai telah berjaya mengeluarkan sebanyak 742.5 juta e-Invois," katanya.
Daripada jumlah tersebut, seramai 64,346 pembayar cukai melaksanakan e-Invois secara mandatori yang terdiri daripada 5,528 pembayar cukai bagi fasa pertama, fasa kedua (13,966) dan fasa ketiga (44,852).
Selain itu, lebih 44,233 pembayar cukai bagi fasa keempat dan kelima telah melaksanakan e-Invois secara sukarela.
Seramai 5,800 pembayar cukai yang sebelum ini tidak patuh mengemukakan borang nyata cukai pendapatan telah tampil mengemukakannya dan melaporkan pendapatan bagi tahun taksiran ke belakang sebanyak RM484 juta yang menyumbang kepada hasil cukai tambahan sebanyak RM82 juta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


