Syarikat pembangunan hartanah Eastern and Oriental Berhad (E&O) bersedia untuk menghadapi pasaran hartanah yang mencabar.

Menurut Timbalan Pengarah Urusan E&O, Eric Chan, keadaan pasaran semasa adalah satu kebiasaan bagi sektor pembangunan hartanah.

Eric Chan berkata E&O sentiasa mempunyai pelan untuk mengendalikan pasaran yang tidak konsisten.

"Kita mesti menguruskan syarikat dalam semua keadaan pasaran. Dalam kitaran seperti ini, kita perlu lebih berhemat dalam hal perancangan kewangan.

"Kita juga mesti bersedia. Jika pasaran berubah kita sudah bersedia untuk melancarkan produk.

"Saya rasa E&O telah melakukan taktik ini semasa krisis kewangan global sebelum ini. Kami mengumumkan instrumen untuk menguruskan syarikat kami. Maka sebaik sahaja pasaran bertukar kami melancarkan St Mary, dua blok apartmen di Kuala Lumpur.

"Kami bersedia. Kami mempunyai produk dan pelan di Pulau Pinang , Kuala Lumpur , Johor. Kami sentiasa memantau pasaran, dan jika masa sesuai kami akan melancarkan produk tersebut" kata Eric Chan.

E&O telah mencapai 67 peratus daripada sasaran keuntungan selepas cukai bagi 2014-2016 dalam suku pertama tahun kewangan 2016.

E&O berhasrat mencapai keuntungan bersih RM173 juta bagi 2016 melalui pelan perniagaan tiga tahun syarikat tersebut.

"Kami beroperasi dalam persekitaran yang mencabar hari ini. Kami bekerja keras untuk melancarkan pelan dengan harapan mencapai keputusan yang baik" kata Eric.

E&O telah mendapat kelulusan daripada pemegang saham untuk penyenaraian unit tidak lansung milik penuhnya Eastern and Oriental PLC di London.