JAKARTA: Ahli politik Britain Ed Vaizey dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perniagaan UK-ASEAN, menggantikan Baroness Lucy Neville-Rolfe, untuk menghubungkan peluang yang semakin berkembang di Asia Tenggara dengan perniagaan Britain.

Menurut majlis itu dalam kenyataan, Vaizey, 54, membawa banyak pengalaman dan kepakaran dalam tempoh yang menarik dalam hubungan United Kingdom (UK)-ASEAN.

Beliau merupakan Menteri Kebudayaan dan Digital kerajaan UK yang paling lama berkhidmat dari 2010 hingga 2016 dan pernah berkhidmat sebagai utusan perdagangan ke Vietnam, Kemboja dan Laos antara 2017 dan 2019.

Mengenai pelantikannya, Vaizey berkata ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030 dengan jumlah penduduk lebih 700 juta, kebanyakannya golongan muda dan terhubung secara digital.

"Ekonomi digital di rantau ini sahaja dijangka berkembang kepada GBP900 bilion (RM4.82 trilion) menjelang 2030.

"Saya berharap untuk bekerjasama dengan perniagaan Britain dan kerajaannya untuk memastikan bahawa UK adalah rakan kongsi utama kepada pertumbuhan rantau ini," katanya.

-- BERNAMA