KUALA LUMPUR: Eden Inc Bhd (Eden) telah menerima pampasan berjumlah RM76.86 juta daripada kerajaan membabitkan pengambilan tanah di Pahang bagi tujuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu menyatakan bahawa keputusan bagi jumlah yang dipertimbangkan itu dibuat dalam sesi pendengaran berkaitan tanah pada 4 Ogos, 2022 dan berdasarkan fakta yang dikemukakan oleh wakil Eden dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Yang Diperbadankan.

"Penjualan wajib itu susulan penerimaan daripada pentadbir tanah mengenai notis pengambilan milik tanah tersebut di bawah Seksyen 18 Akta Pengambilan Tanah 1960," katanya.

Pampasan itu juga tertakluk kepada jumlah boleh dibayar kepada institusi kewangan bagi mengurangkan jumlah pinjaman yang sejajar dengan dokumen berkaitan.

"Jumlah baki tersebut dijangka digunakan bagi tujuan pengembangan perniagaan di masa depan, modal kerja dan pembayaran semula hutang," katanya.

Menurut Eden, penjualan itu dijangka memberi pulangan bagi pelupusan wajib sebanyak RM45.84 juta.

-- BERNAMA