Ekonomi Malaysia kekal pada landasan pertumbuhan stabil menjelang 2026 - Gabenor BNM

Abdul Rasheed berkata, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada tahun 2026, disebabkan oleh tekanan kos global yang semakin berkurang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Berikut adalah transkrip wawancara Bernama menerusi e-mel dengan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR).
Soalan 1. Gabenor, bolehkah Gabenor terangkan kepada kami keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini?
Selepas bermesyuarat, kami telah memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus. Pada tahap semasa, OPR kekal sesuai dan menyokong ekonomi dalam keadaan inflasi yang stabil.
Soalan 2. Mengapakah MPC membuat keputusan untuk mengekalkan OPR hari ini? Apakah keputusan ini mencerminkan hala tuju ekonomi kita?
Keputusan dasar monetari adalah berdasarkan penilaian MPC terhadap ekonomi Malaysia. Dalam membuat keputusan ini, kami menilai dengan teliti mengenai risiko terhadap prospek pertumbuhan dan inflasi.
Saya mulakan dengan pertumbuhan. Secara keseluruhan, pemacu utama ekonomi Malaysia kekal kukuh dan akan terus menyokong pertumbuhan yang stabil menjelang tahun 2026. Prospek ekonomi kekal positif, disokong oleh pengurangan OPR sebagai langkah awalan yang dibuat oleh MPC pada bulan Julai serta langkah-langkah dalam Belanjawan 2026.
Pada tahun 2026, permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan terus menyokong ekonomi Malaysia.
Kami menjangkakan kadar guna tenaga akan kekal stabil dan pendapatan akan terus meningkat. Hal ini bermakna perbelanjaan isi rumah dijangka kekal berdaya tahan.
Tambahan pula, inisiatif fiskal seperti bantuan wang tunai yang berterusan melalui SARA dan STR, bersama-sama penstrukturan semula gaji sektor perkhidmatan awam di bawah SSPA 2.0 akan memberi isi rumah pendapatan boleh guna yang lebih tinggi. Hal ini dijangka membantu mengekalkan aktiviti penggunaan.
Pelaburan pula akan terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Aktiviti pelaburan yang kukuh yang telah kita saksikan pada tahun ini dijangka berterusan ke tahun hadapan.
Projek berbilang tahun dalam sektor awam dan swasta akan terus dilaksanakan, dengan banyak pelaburan yang diluluskan sebelum ini kini juga sedang dilaksanakan. Untuk lebih jelas, sebanyak 85.1 peratus projek perkilangan yang diluluskan dari tahun 2021 hingga bulan Jun 2025 telah dilaksanakan.
Belanjawan 2026 yang diumumkan baru-baru ini memberikan tumpuan pada bidang strategik seperti AI, semikonduktor dan peralihan tenaga, bersama-sama dengan pelan induk kebangsaan dan inisiatif utama (contohnya, NIMP 2030, NSS, NIIF dan RMK13).
Langkah-langkah ini akan membantu menyokong momentum pelaburan negara.
Sesungguhnya, kita sedang melihat tanda-tanda awal pusat data tempatan mula mengeksport perkhidmatan mereka. Hal ini akan menyokong import negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital yang sedang membangun di rantau ini.
Perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Malaysia dan AS semasa Persidangan ASEAN baru-baru ini telah membantu mengurangkan ketidakpastian sebelum ini.
Perniagaan dan pelabur menghargai persekitaran yang stabil. Oleh itu, hal ini menyokong prospek pertumbuhan negara pada masa hadapan.
Sementara itu, kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 juga berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik lebih banyak ketibaan dan perbelanjaan pelancong. Gabungan perkara ini dijangka membantu mengimbangi sektor luaran negara meskipun cabaran global berterusan.
Sekarang, izinkan saya memberikan tumpuan pada inflasi.
Dari awal tahun sehingga kini, purata inflasi keseluruhan dan teras masing-masing berada pada 1.4 peratus dan 1.9 peratus.
Secara keseluruhan, kenaikan harga pada tahun 2025 terus terkawal walaupun terdapat pelbagai pembaharuan dalam negeri, termasuk peluasan SST, perubahan tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi RON95 yang diperkenalkan secara beransur-ansur sepanjang tahun itu.
Hal ini mencerminkan pembentukan dan penyesuaian dasar yang teliti bagi mengimbangi kesan kepada kebanyakan isi rumah dan pada masa yang sama memberikan penjimatan fiskal yang bermakna kepada kerajaan.
Yang penting, pelaksanaan pengurangan subsidi RON95 oleh kerajaan pada bulan September, termasuk pendekatan yang disasarkan dalam pelaksanaannya, memastikan kesannya terhadap inflasi kekal terhad.
Malah, kebanyakan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pengurangan harga runcit bahan api, yang seterusnya membantu menampang tekanan kos kepada isi rumah sambil memastikan dinamik inflasi secara keseluruhan kekal stabil.
Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada tahun 2026, disebabkan oleh tekanan kos global yang semakin berkurang.
Harga komoditi global yang lebih rendah dijangka membantu mengekalkan kos dalam negeri pada tahap yang terkawal.
Pada masa yang sama, inflasi teras berkemungkinan kekal stabil dan hampir kepada purata jangka panjangnya apabila ekonomi terus berkembang pada kadar yang sederhana. Dalam persekitaran ini, kesan pembaharuan dasar dalam negeri terhadap inflasi dijangka terhad.
Soalan 3. Sebagai mesyuarat MPC terakhir tahun ini, apakah pandangan Gabenor tentang tahun 2025?
Tahun 2025 penuh dengan ketidakpastian yang berlarutan, dibentuk oleh ketegangan perdagangan global dan perkembangan geopolitik.
Langkah AS untuk menaikkan tarif import pada bulan April mengganggu perdagangan global dan memaksa perniagaan dan penggubal dasar untuk bertindak balas dan membuat penyesuaian dengan pantas lantas telah meningkatkan unsur ketidakpastian.
Dengan banyak perjanjian perdagangan kini selesai, termasuk Malaysia, prospek pertumbuhan adalah lebih jelas. Namun, secara amnya tarif kekal lebih tinggi berbanding sebelumnya dan beberapa ketidakpastian berkaitan perdagangan masih berlanjutan.
Ekonomi Malaysia kekal ketara berdaya tahan terhadap cabaran-cabaran ini.
Pelaburan kekal menjadi aspek yang positif untuk ekonomi, dan kerajaan terus melaksanakan pembaharuan struktur untuk memperkukuh masa hadapan negara.
Daya tahan Malaysia pada hari ini adalah hasil daripada pembaharuan bertahun-tahun yang dilakukan pada masa lalu.
Oleh itu, langkah ini merupakan tugasan yang sangat penting.
Hal ini seharusnya memantapkan tekad kita untuk melaksanakan pembaharuan yang lebih meluas bagi memastikan masa hadapan yang lebih kukuh.
Seperti biasa, MPC terus berpandangan ke hadapan dan berwaspada terhadap risiko baru muncul, supaya MPC dapat bertindak balas segera apabila diperlukan.
Memandangkan ketidakpastian luaran, MPC memberikan tumpuan pada mengekalkan persekitaran yang menyokong pertumbuhan manakala inflasi kekal sederhana.
Pengurangan OPR pada bulan Julai adalah keputusan awal untuk memelihara trajektori pertumbuhan Malaysia dalam keadaan kestabilan harga. MPC menjangkakan langkah ini akan terus memberikan sokongan tambahan kepada ekonomi sepanjang tahun 2025 dan menjelang tahun 2026.
Soalan 4. Apakah prospek untuk tahun 2026 dan apakah kebimbangan serta keutamaan MPC bagi tahun yang akan datang?
Pada tahun 2026, kami menjangkakan persekitaran global terus berubah-ubah, dengan banyak faktor yang mempengaruhi keadaan ekonomi.
MPC terus memantau perkembangan perdagangan dan geopolitik dengan teliti. Kesan penuh daripada tarif yang lebih tinggi juga mungkin akan dirasakan dengan lebih ketara pada tahun hadapan apabila aliran perdagangan membuat penyesuaian, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi untuk banyak ekonomi di seluruh dunia.
Walaupun begitu, ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh. Dalam ketidakpastian ini, Malaysia akan terus berdaya tahan. Sesungguhnya, Kementerian Kewangan telah mengumumkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun 2026 sebanyak 4 peratus hingga 4.5 peratus.
Pertumbuhan yang berterusan ini mencerminkan daya tahan asas ekonomi negara dalam menghadapi rintangan luaran.
Asas ekonomi negara yang kukuh akan membantu menangani tekanan jangka pendek dan kekal berada pada landasan untuk masa hadapan.
Inflasi dijangka kekal sederhana, memastikan perubahan harga kekal stabil dan boleh dijangka. Hal ini akan mewujudkan keadaan yang stabil untuk rakyat dan perniagaan menjalankan kegiatan ekonomi dengan yakin.
Dalam persekitaran yang dibentuk oleh ketidakpastian yang ketara dan berpanjangan, penting untuk dapat mengemudi dan menentukan haluan yang jelas untuk ekonomi.
Menerusi penggunaan data masa nyata dan maklum balas langsung daripada perniagaan, bank, dan kumpulan industri, matlamat MPC adalah untuk mengetahui hal yang berlaku di lapangan dan pada masa yang sama menghindari risiko yang baru muncul.
Paling utama, komitmen MPC adalah untuk memastikan ekonomi Malaysia berada pada haluannya, dengan memastikan inflasi adalah rendah dan stabil untuk menyokong pertumbuhan yang mampan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


