Skip to main content

Bisnes

Ekonomi Selangor diunjur lepasi separuh trilion ringgit menjelang 2028 - MB

Menurut Amirudin, pencapaian ekonomi negeri sepanjang pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS1) mencatatkan rekod membanggakan apabila berkembang pada kadar purata 7.2 hingga 7.3 peratus setahun. - Gambar Astro AWANI
Menurut Amirudin, pencapaian ekonomi negeri sepanjang pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS1) mencatatkan rekod membanggakan apabila berkembang pada kadar purata 7.2 hingga 7.3 peratus setahun. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Nilai ekonomi Selangor berada pada trajektori kukuh untuk melepasi angka bersejarah RM500 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, didorong oleh kepesatan pelaburan bernilai tinggi dan kecekapan urus tadbir pentadbiran negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, unjuran berkenaan dibuat berdasarkan kajian komprehensif terkini oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang meneliti pola pertumbuhan ekonomi negeri secara terperinci.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika menjadi tetamu khas dalam program wawancara Investment Insider terbitan Astro AWANI bersempena penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Advertisement

Menurut Amirudin, pencapaian ekonomi negeri sepanjang pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS1) mencatatkan rekod membanggakan apabila berkembang pada kadar purata 7.2 hingga 7.3 peratus setahun, sekali gus melepasi sasaran awal yang diletakkan pada paras 6.5 peratus.

"Malah pada tahun 2025, KDNK kita meningkat kepada RM460.1 bilion. Ini bermakna kita menyumbang 26.5 peratus kepada keseluruhan aktiviti ekonomi Malaysia, dan peningkatannya adalah sekitar RM28 bilion," kata beliau.

Advertisement

Beliau menjelaskan bahawa status itu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang berjaya merekodkan aktiviti ekonomi melepasi paras RM400 bilion setakat ini.

"Kita kekal sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai aktiviti melebihi RM400 bilion. Data terkini yang ditunjukkan oleh Universiti Putra Malaysia, dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, nilai ekonomi Selangor pasti akan melebihi separuh trilion ringgit," tambah beliau.

Menyedari cabaran kos hartanah dan tanah industri yang lebih tinggi di Selangor berbanding negeri-negeri lain, beliau menegaskan kerajaan negeri mengambil pendekatan mengimbangi kekangan itu menerusi kecekapan kemudahan menjalankan perniagaan (Ease of Doing Business).

Antara langkah agresif yang telah dilaksanakan adalah memendekkan tempoh kelulusan pentadbiran dan permit industri secara drastik daripada tempoh asal tiga bulan kepada sebulan, malah sesetengah proses kini hanya memakan masa 14 hari atau dua minggu.

Langkah percepatan kelulusan ini dilihat amat penting bagi meyakinkan pelabur antarabangsa bahawa Selangor bukan sekadar sebuah pasaran matang, sebaliknya hab industri yang tangkas dan responsif terhadap masa pelaksanaan projek.

Kerajaan negeri kini bersiap siaga melangkah ke fasa seterusnya menerusi kerangka Rancangan Selangor Kedua (RS2) yang memberi tumpuan kepada industri masa hadapan berimpak tinggi termasuk aeroangkasa, farmaseutikal, ekonomi digital, dan logistik termaju.

Amirudin optimis gabungan kestabilan dasar, infrastruktur berkelas dunia, dan ketangkasan agensi pelaksana seperti Invest Selangor akan terus meletakkan negeri itu sebagai sempadan utama ekonomi (The Selangor Frontier) yang menerajui kemakmuran serantau.

Must Watch Video

Advertisement