Skip to main content

Malaysia

Pasaran ada kerja, isu sebenar adalah ketidakpadanan kemahiran - Amirudin

Amirudin berkata, Selangor tidak membiarkan institusi latihan kemahiran bergerak sendirian, sebaliknya membawa syarikat gergasi teknologi global untuk melabur secara langsung dalam perkakasan dan kurikulum latihan tempatan. - Gambar fail/Bernama
Amirudin berkata, Selangor tidak membiarkan institusi latihan kemahiran bergerak sendirian, sebaliknya membawa syarikat gergasi teknologi global untuk melabur secara langsung dalam perkakasan dan kurikulum latihan tempatan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keluhan sebahagian masyarakat yang mendakwa sukar mendapatkan peluang pekerjaan disifatkan sebagai satu 'ironi' pasaran, sedangkan realiti dihadapi sektor industri dan pelabur adalah krisis kekurangan tenaga kerja yang memiliki kemahiran bersesuaian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari mendedahkan, jurang ketara antara penawaran bakat dan permintaan industri kini menjadi cabaran paling mendesak yang memerlukan intervensi segera di peringkat kerajaan negeri.

Bercakap dalam wawancara program Investment Insider di platform Selangor International Business Summit (SIBS) 2026, beliau menegaskan isu pokok yang membelenggu pencari kerja tempatan bukanlah kekurangan peluang pekerjaan di Selangor.

Advertisement

"Apabila kita bercakap tentang pekerjaan, sebenarnya kadang-kadang wujud satu ironi. Pasaran menunjukkan atau pemahaman orang awam mengatakan tiada pekerjaan, tidak cukup pekerjaan. Tetapi realitinya, apabila kita bertemu pelabur, sebenarnya ada banyak pekerjaan," kata beliau.

Beliau menegaskan, masalah asas berpunca daripada ketidakseimbangan antara silibus latihan dengan kehendak industri moden yang sedang pesat beralih ke arah automasi tinggi dan kecerdasan buatan.

Advertisement

"Isunya adalah ketidakpadanan antara kemahiran yang kita sediakan dengan permintaan pasaran. Oleh itu, kerajaan negeri campur tangan. Kita berunding dengan syarikat teknologi, sediakan mesin anda di sini, kita ada institusi, kita latih pekerja dan graduan untuk menepati apa yang diperlukan oleh pasaran," jelas beliau.

Sebagai langkah pembetulan, Amirudin berkata, Selangor tidak membiarkan institusi latihan kemahiran bergerak sendirian, sebaliknya membawa syarikat gergasi teknologi global untuk melabur secara langsung dalam perkakasan dan kurikulum latihan tempatan.

Menerusi inisiatif intervensi bakat berimpak tinggi bersama syarikat ternama seperti Siemens, Apple, dan BMW, kerajaan negeri telah berjaya melatih dan meningkatkan kemahiran (reskilling dan upskilling) lebih 4,000 pekerja tempatan setakat ini.

Program peningkatan kemahiran tersebut, jelasnya lagi, terbukti membuahkan hasil nyata apabila kumpulan pekerja teknikal yang terlatih berjaya menikmati kenaikan tangga gaji daripada purata RM4,000 sebulan kepada RM6,000 hingga RM8,000 sebulan.

Dengan kewujudan lebih 100 institusi pengajian tinggi di Selangor yang melahirkan sekitar 30,000 graduan setiap tahun, kerajaan negeri melihat modal insan ini sebagai aset terbesar yang perlu dipadankan dengan tepat mengikut sektor pertumbuhan baharu.

Selain itu, penubuhan platform khas seperti Majlis Aeroangkasa Selangor (Selangor Aerospace Council) dan Majlis Rel Selangor (Selangor Rail Council) turut memperkukuh ekosistem latihan bakat khusus bagi memenuhi keperluan industri berteknologi termaju.

Amirudin menegaskan strategi pemadanan bakat yang diterajui negeri ini penting bagi memastikan limpahan pelaburan asing tidak sekadar mencipta angka pekerjaan semata-mata, sebaliknya menjana mobiliti sosial dan pendapatan bernilai tinggi untuk rakyat tempatan.

Must Watch Video

Advertisement