KUALA LUMPUR:Minggu Saham Digital 2020 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) menampilkan pelbagai aktiviti daripada maklumat pelaburan, gaya hidup dan persembahan pelbagai artis.

Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, di tengah situasi ekonomi yang tidak menentu akibat COVID-19 ketika ini, lebih ramai pelabur baharu dan sedia ada akan mencari maklumat tentang bagaimana mereka boleh membuat keputusan yang bijak.

Dalam temu bual eksklusif Niaga AWANI bersama Rizal Zulkapli, ini dapat dilihat terutama ketika semua lapisan masyarakat, pelabur dan institusi berdepan kesukaran untuk menjangka apa yang akan berlaku selepas ini.

“Ia adalah tempoh yang sukar untuk semua.

"Jadi ketika ini, apa sahaja maklumat yang anda boleh dapat mungkin penting bagi anda untuk buat keputusan anda.

"Apa yang kami ingin lakukan adalah memberi mereka maklumat untuk buat keputusan kewangan, pelaburan yang lebih baik.

“Kami faham yang dalam keadaan semasa orang gunakan simpanan mereka untuk melalui tempoh sukar ini. Jadi mereka mungkin sukar untuk melabur dan menyimpan.



“Namun mereka perlu lihat melepasi pandemik ini. Ini kerana setiap kali PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikurangkan, ekonomi kembali pulih,” katanya.

Tambahnya, Minggu Saham Amanah Malaysia telah terbukti berjaya selepas 20 tahun dengan peningkatan pelabur dalam 14 produk pelaburan PNB.

Menurut Zeti, dalam tempoh ini, aset bawah pengurusan (AUM) PNB meningkat daripada RM61 bilion pada tahun 2000 kepada RM315 bilion setakat September 2020.

Minggu Saham Amanah Malaysia tahun ini menampilkan barisan penceramah, personaliti terkenal menerusi pelbagai program bersiar setiap hari antara 12.30 tengah hari dan 10.30 malam dari 18 hingga 24 November 2020 melalui laman Facebook dan saluran YouTube MSD.

“Kewangan, ada yang lihat ia sedikit membosankan, jadi kita harus jadikan kewangan sesuatu yang menarik.

“Jadi kami harus berikan pelabur daripada pelbagai latar belakang, apa yang mungkin menarik bagi mereka,” tambahnya.

Antara program yang dirancang termasuk Cikgu CEO yang menampilkan CEO daripada rakan penganjur, ASB-Iclif MBA Masterclass Series, Masak Macam Mak bersama Fizo Omar, Elfira Loy dan Sherson Lian, Live Trivia dan Live Trivia Bonanza dan konsert maya terbesar Pass The Mic! antara pukul 8.30 malam dan 10.30 malam pada 21 November 2020.