KUALA LUMPUR: Sebanyak empat institusi bank terlibat dalam projek rintis Skim CAKNA yang merupakan kemudahan pembiayaan untuk syarikat yang memperoleh kontrak kerajaan bagi perolehan bekalan dan perkhidmatan bermula 1 Mac 2021 hingga 28 Feb 2022.

Institusi perbankan Islam yang terlibat ialah Maybank Islamic Bhd, CIMB Islamic Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan MBSB Bank Bhd.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan, Kumpulan Perniagaan Syariah RHB Islamic Bank Bhd Zakaria Osman, Skim CAKNA berbeza dengan kemudahan pemfaktoran dan skim pembiayaan kontrak oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Ia merupakan satu sumber pembiayaan alternatif kepada syarikat untuk mendapatkan modal pusingan lebih awal bagi invois yang dikemukakan tanpa perlu menunggu pembayaran oleh kerajaan.

"Syarikat layak untuk mendapatkan fasiliti sehingga 100 peratus daripada nilai invois yang dikemukakan kepada kerajaan," katanya dalam webinar Skim CAKNA yang dianjurkan oleh Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), semalam.

Selain itu, katanya manfaat atau kelebihan yang boleh dinikmati daripada Skim CAKNA adalah tanpa rekursa, tanpa caj perkhidmatan dan tiada cagaran diperlukan.

Menurutnya, sebanyak empat kementerian terlibat dalam projek rintis ini iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Zakaria berkata inisiatif ini dapat membantu kelangsungan operasi syarikat serta mempercepatkan bayaran kepada pembekal dan pekerja bagi melicinkan pergerakan rantaian ekonomi seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA