Skip to main content

Politik

PRN N9: Langkah pulangkan mandat demi kestabilan negeri - Aminuddin

SEREMBAN, 6 Mei -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan di luar perkarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aminuddin berkata sesebuah pentadbiran hanya mampu berfungsi dengan baik sekiranya semua pihak berpegang kepada prinsip kejujuran, keikhlasan dan kesetiaan terhadap mandat yang diberikan rakyat. - Foto fail/BERNAMA

BATU PAHAT: Keputusan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terpaksa diambil, selepas berlakunya ketidaktentuan politik susulan tindakan beberapa rakan sekutu yang menukar pendirian dan menarik sokongan terhadap kerajaan gabungan ketika itu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata perkembangan itu, telah menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri sehingga mendorong kerajaan mengambil keputusan untuk memulangkan semula mandat rakyat melalui pilihan raya.

“Malangnya, sahabat kita ketika itu, mereka tidak sabar. Mereka cuba mengkhianati kita dan mereka tebuk kapal yang kita dalam keadaan yang sedang berlayar dengan baik.

“Kerana kita hari ini melihat sekejap mereka sokong, sekejap mereka tarik...yang akhirnya, kita rasa bahawa perlu kita serahkan mandat ini kepada rakyat semula,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Negeri Johor, yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam Sabtu.

Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil.

Hadir sama Naib Presiden PKR yang juga Pengerusi PKR Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan dan Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

Aminuddin berkata pengalaman yang dilalui Negeri Sembilan itu, wajar dijadikan pengajaran oleh rakyat Johor dalam memilih kerajaan yang stabil dan mempunyai komitmen terhadap persefahaman politik yang dipersetujui bersama.

Beliau berkata sesebuah pentadbiran hanya mampu berfungsi dengan baik sekiranya semua pihak berpegang kepada prinsip kejujuran, keikhlasan dan kesetiaan terhadap mandat yang diberikan rakyat.

“Rakyat Johor harus ingat dan insaf, bahawa apa yang berlaku di Negeri Sembilan ini tidak harus berulang di mana-mana.

“Kita tak nak dalam keadaan kita menghormati, saling hormat-menghormati, saling beri-memberi, memastikan kelancaran kerajaan negeri berjalan dengan baik, tiba-tiba mereka tebuk kapal yang kita sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement