BUSINESS
Eswatini pelawa pelabur Malaysia, galak hubungan perdagangan dan kebudayaan

Menzie S. Dlamini berkata, Eswatini berhasrat menjadi hab pembuatan strategik bagi syarikat Malaysia yang mahu mengakses pasaran Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan pasaran lain. - Bernama
KUALA LUMPUR: Eswatini membuka pintunya kepada pelabur Malaysia dengan menawarkan peluang strategik dalam sektor utama seperti tenaga boleh diperbaharui, pemprosesan agro, infrastruktur dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), ketika negara Afrika itu berusaha untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala.
Pesuruhjaya Tinggi Eswatini ke Malaysia, Menzie S. Dlamini berkata negara itu berhasrat menjadi hab pembuatan strategik bagi syarikat Malaysia yang mahu mengakses pasaran Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) dan pasaran lain.
"Satu daripada objektif utama kami adalah untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan menarik lebih ramai pelabur," katanya pada program "Diplomatic Dispatch" terbitan Bernama TV baru-baru ini.
Dlamini turut menyenaraikan sektor keutamaan pelaburan lain termasuk tekstil, tenaga, perlombongan, pelancongan dan pembinaan yang terbuka kepada pelabur Malaysia.Beliau berkata Eswatini mengalu-alukan syarikat Malaysia, terutamanya pengeluar panel solar, untuk meneroka peluang di negara itu dengan menjadikannya platform untuk pembuatan tempatan sebelum mengeksport ke rantau SADC dan Eropah.
Eswatini menawarkan kelebihan akses global kerana ia turut menikmati keistimewaan perdagangan dengan Amerika Syarikat di bawah Akta Pertumbuhan dan Peluang Afrika (AGOA), yang menyediakan insentif tambahan untuk perniagaan berorientasikan eksport, katanya.
"Kami mahu rakyat kami mempunyai pekerjaan, tetapi kami juga ingin mengalu-alukan pelabur untuk berbincang mengenai insentif seperti pengecualian cukai dan penghantaran pulang keuntungan.
"Semuanya bergantung kepada skala pelaburan. Misi kami adalah untuk mewujudkan perkongsian yang saling menguntungkan dan menarik lebih ramai pelabur," katanya.
Beliau turut merujuk kepada kerjasama sedia ada dengan entiti Malaysia, termasuk Probase - sebuah syarikat Malaysia yang kini terlibat dalam projek penstabilan infrastruktur jalan raya di Eswatini.
Sebagai sebuah negara membangun, Eswatini terus mencari perkongsian strategik bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur dan memacu pertumbuhan industri, katanya.
Dlamini turut menjemput rakyat Malaysia untuk merasai pengalaman festival kebudayaan yang meriah dan keindahan alam semula jadi Eswatini, sambil memaklumkan bahawa pemegang pasport Malaysia boleh melawat negara itu tanpa visa sehingga 30 hari.
Beliau turut mengetengahkan upacara Incwala, Marula dan Umhlanga (Tarian Reed) sebagai acara kebudayaan utama yang menarik ribuan pengunjung tempatan dan antarabangsa setiap tahun.
Menyifatkan Eswatini sebagai selamat, mesra dan kaya budaya, Dlamini menambah: "Anda tidak perlukan visa, hanya tiket, tempat penginapan, dan minat terhadap budaya."
Malaysia dan Eswatini menjalin hubungan diplomatik secara rasmi pada 1 Sept 1992.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami