BISNES
EU hentikan prosiding terhadap Microsoft selepas buat tawaran kompromi

Prosiding EU terhadap Microsoft dicetuskan oleh aduan Slack, pada musim panas 2020, yang berhujah bahawa ia berada pada kedudukan tidak adil berikutan integrasi Teams ke dalam pakej Office 365 dan Microsoft 365. REUTERS
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah dan gergasi perisian Amerika Syarikat (AS) Microsoft pada Jumaat mencapai penyelesaian dalam kes antitrust berhubung pemasaran platform kerjasama Teams, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Suruhanjaya itu berkata syarikat AS berkenaan membuat beberapa konsesi sekali gus membolehkan ia mengelak daripada dikenakan denda.
"Organisasi besar dan kecil di seluruh Eropah serta dunia sangat bergantung pada alat persidangan video, sembang dan kerjasama, terutamanya sejak pandemik COVID-19," kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Teresa Ribera.
"Dengan keputusan hari ini, kami menjadikan komitmen Microsoft mengikat dari segi undang-undang sekurang-kurangnya tujuh tahun bagi menamatkan amalan pengikatan (tying practices) yang mungkin telah menghalang pesaing daripada bersaing secara berkesan dengan Teams," katanya.Pakej Microsoft Office yang mengandungi aplikasi Word, Excel, PowerPoint dan Outlook akan ditawarkan tanpa Teams pada harga lebih rendah di EU, dan pelanggan lama Office akan dapat menukar kepada pakej lebih murah tanpa Teams, menurut suruhanjaya itu.
Microsoft juga akan menambah baik kesalingoperasian antara Teams dan alat pesaing serta membenarkan pelanggan memindahkan data mereka dari Teams ke aplikasi pesaing.
Sebelum ini, suruhanjaya menuduh Microsoft menggunakan kuasa pasaran secara tidak sah untuk mempromosikan platform kerjasama Teams.
Prosiding EU terhadap Microsoft dicetuskan oleh aduan pesaingnya, Slack, pada musim panas 2020. Slack berhujah bahawa ia berada pada kedudukan tidak adil berikutan integrasi Teams ke dalam pakej Office 365 dan Microsoft 365.
Jika tiada penyelesaian dicapai, suruhanjaya boleh mengenakan denda sehingga 10 peratus daripada perolehan tahunan global atau bayaran penalti harian sehingga 5 peratus daripada perolehan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami