KUALA LUMPUR: Seramai 428 aktivis Global Sumud Flotilla 2.0 termasuk 29 delegasi Malaysia selamat tiba di Istanbul, Turkiye pada jam 5.37 petang (waktu tempatan).
Kesemua aktivis berlepas dari Lapangan Terbang Ramon menerusi penerbangan khas Turkish Airlines di wilayah rejim Zionis Israel selepas dibebaskan daripada tahanan di Pelabuhan Ashdod hari ini.
Visual yang diperoleh Astro AWANI menunjukkan para aktivis mengenakan pakaian seragam berwarna kelabu bersama selendang tradisional Palestin, keffiyeh, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.
Turut kelihatan beberapa delegasi Malaysia seperti Al Ahmad Shah, Razman Mat Ali, Dr Jihan Alya dan juga beberapa aktivis yang lain.
Sementara itu, beberapa peserta turut dilihat mengalami lebam dan bengkak pada wajah dipercayai akibat kekasaran yang dialami ketika ditahan di Pelabuhan Ashdod semalam.
Hari ini, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby memaklumkan ketiga-tiga penerbangan pada jam 3.26 (waktu tempatan) dari wilayah haram ditaja oleh Kerajaan Turkiye.
Sani turut memaklumkan, kesemua delegasi Malaysia dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad ini.
Kesemua aktivis GSF 2.0 ditahan secara haram oleh tentera rejim zionis Israel di perairan antarabangsa pada 18 dan 19 Mei lalu ketika misi pelayaran menuju ke Gaza.