KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku pertama (Q1) berakhir 31 Disember 2021, susut 32.06% kepada RM92.95 juta daripada RM136.81 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 2.2% kepada RM1.11 bilion berbanding RM1.08 bilion, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia pada Selasa.

Kumpulan merekodkan hasil yang lebih baik di tengah-tengah pemulihan aktiviti ekonomi dalam pasaran utama, meskipun momentum positif terganggu akibat kejadian banjir yang menjejaskan kemudahan pengeluarannya di Shah Alam.

Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan kumpulan berkembang 23.5% kepada RM1.11 bilion berbanding RM896.3 juta pada suku keempat berakhir 30 September 2021.

Ini berikutan jualan yang lebih tinggi menerusi F&B Thailand dan F&B Malaysia hasil daripada eksport yang tinggi dan aktiviti jualan menjelang musim perayaan berbanding waktu puncak pada suku keempat.

Pendapatan F&B Malaysia pada suku tersebut berkembang 1.3% kepada RM575.6 juta berbanding RM568.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu, dengan hasil daripada tonggak makanan mengurangkan kesan akibat banjir dan gangguan perkapalan kepada perniagaan domestik dan eksport.

Bagi F&B Thailand pula, pendapatan pada suku itu berkembang 10.3% didorong jualan domestik dan eksport yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, kadar tukaran ringgit berbanding baht yang kurang menguntungkan menyebabkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam ringgit, peningkatan 3% kepada RM529.8 juta berbanding RM514.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Mengenai prospek kumpulan, F&N berkata, persekitaran dijangka kekal mencabar disebabkan harga bahan mentah dan pembungkusan yang tinggi serta ketidaktentuan yang timbul daripada varian Omicron.

"Sebagai pilihan terakhir, kami mungkin menyelaraskan harga produk secara beransur-ansur untuk mengurangkan tekanan margin akibat kenaikan harga komoditi dan bahan input lain," jelasnya.

Di sebalik ketidaktentuan ini, dan momentuam pemulihan yang semakin memberangsangkan daripada pemulihan aktiviti ekonomi di Thailand dan Malaysia, F&N akan terus memacu jualan untuk musim perayaan akan datang dan sepanjang tahun ini terutamanya bagi untuk produk minuman dan perniagaan tenusu sedia diminum dan saluran luar rumah.

"Selain itu, pasaran eksport dan makanan berbungkus halal kekal menjadi fokus utama kumpulan," katanya.

Dalam pada itu, F&N menjelaskan, situasi kehabisan stok bagi beberapa produknya seperti 100PLUS akan diselesaikan sepenuhnya pada akhir suku kedua tahun kewangan 2022.

Ini berikutan kejadian banjir pada akhir tahun lalu, menyebabkan kemudahan pengeluarannya di Shah Alam terjejas dan hanya kembali beroperasi secara berperingkat pada pertengahan bulan lalu. - DagangNews.com