Walaupun Ringgit dijangka terus mengukuh, masih terdapat ketidakpastian berikutan faktor luaran.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata faktor luaran itu termasuk situasi ekonomi China serta kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat.

"Terdapat ketidakpastian yang masih jelas terutama situasi ekonomi negara China dan kadar faedah Amerika Syarikat itu sendiri. Sekiranya kadar faedah tiba-tiba berubah dari perlahan kepada agresif sememangnya akan beri kesan kepada nilai Ringgit dan ia akan menyaksikan Ringgit mengalami sedikit kelemahan.

"Tapi buat masa ini, tanggapannya adalah kenaikan faedah itu adalah secara perlahan-lahan," ujar Afzanizam dalam temubual bersama Astro AWANI pada Jumaat.

BACA: Ringgit cecah paras tertinggi dalam tempoh tujuh bulan

Menurut Afzanizam, meskipun begitu Ringgit masih berupaya untuk mengukuh berdasarkan jangkaan The Fed yang akan memperlahankan kenaikan kadar faedah.

"Kebimbangan Amerika Syarikat terhadap situasi ekonomi global dan kadar inflasi negara itu yang masih rendah mempengaruhi keputuan mereka untuk memperlahankan kenaikan faedah.

"Faktor ini dikaitkan pula dengan asas ekonomi negara kita yang masih kukuh dan ia diterjemah dalam kekuatan nilai Ringgit yang berterusan, " kata beliau.

Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa Ringgit berupaya mencecah kadar 3.8 berbanding dolar Amerika pada akhir 2016 disokong peningkatan aliran modal asing terhadap ekuiti dan bon negara.

Tambah Afzanizam, Ringgit juga dijangka terus mengukuh berbanding matawang utama lain seperti Yen, Euro, Pound Sterling dan Dolar Singapura.