ISKANDAR PUTERI: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan kempen Liga Super 2026 sebagai musim terbaik kelab itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas berjaya menamatkan saingan dengan rekod bersejarah tanpa kalah dalam 108 perlawanan berturut-turut.
Bercakap kepada pemberita selepas mencatat kemenangan besar 14-1 menentang Kelantan The Real Warriors FC di Sultan Ibrahim Stadium (SSI), di sini malam tadi, Munoz berkata, beliau lebih kagum dengan semangat juang dan intensiti tanpa henti yang dipamerkan anak buahnya berbanding jumlah jaringan besar itu sendiri.
“Malam ini saya gembira tetapi bukan disebabkan keputusan perlawanan itu kerana keputusan hanyalah sekadar angka. Apa yang lebih menggembirakan ialah semangat para pemain kami yang terus berjuang hingga wisel penamat pada minit ke-95. Inilah mentaliti yang kami mahukan kerana hanya dengan cara itu kami dapat terus meningkatkan prestasi demi menghadapi cabaran seterusnya,” katanya.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu turut menzahirkan penghargaan tinggi kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merangkap pemilik JDT dengan menyifatkan kepimpinan baginda sebagai tunjang kepada konsistensi luar biasa skuad Harimau Selatan.
“Saya bangga kerana baginda sentiasa memainkan peranan utama dalam situasi seperti ini. Baginda membimbing kami dan memberikan jalan penyelesaian terbaik setiap kali kami menghadapi kesukaran,” katanya.
Mengenai prestasi individu, Munoz melahirkan rasa puas hati terhadap pemain tengah Nathaniel Shio Hong Wan yang tetap mempamerkan aksi cemerlang meskipun baru kembali beraksi selepas sebulan berehat akibat kecederaan.
Beliau berkata, ketajaman penyudah Bergson Da Silva yang meledak enam gol untuk melengkapkan 27 jaringan liga musim ini membuktikan kualiti serta konsistensi penyerang itu.
Menjelang aksi separuh akhir timbal balik Kejuaraan Kelab ASEAN menentang Buriram United FC di Chang Arena pada 13 Mei ini, Munoz mengharapkan aksi yang “lebih matang” daripada skuad Harimau Selatan.
“Kami perlu belajar daripada kesilapan dan ke sana dengan keyakinan penuh bahawa kami mampu mengubah keputusan perlawanan. Kami perlu lebih tajam di bahagian serangan dan bijak mengawal saat penting dalam permainan. Jika ada pasukan yang mampu mengubah keadaan, ia adalah JDT,” katanya.
JDT melakar sejarah musim ini apabila membelasah TRW 14-1 pada aksi terakhir Liga Super 2025/2026 di SSI, di sini, malam tadi.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan pasukan berkenaan mencatatkan rekod tanpa kalah 108 perlawanan sejak musim 2021, sekali gus menyamai rekod dunia yang pernah dilakar kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas antara 1989 hingga 1994.
-- BERNAMA