Skip to main content

Malaysia

Status perkahwinan boleh tergantung tanpa dokumen lengkap – Peguam

Ketiadaan dokumen sokongan boleh menyukarkan mahkamah memastikan pernikahan berkenaan memenuhi rukun dan syarat sah nikah, khususnya melibatkan wali serta jurunikah yang mengendalikan akad. - Gambar hiasan
Ketiadaan dokumen sokongan boleh menyukarkan mahkamah memastikan pernikahan berkenaan memenuhi rukun dan syarat sah nikah, khususnya melibatkan wali serta jurunikah yang mengendalikan akad. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Status perkahwinan pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand berisiko tergantung jika gagal mengemukakan dokumen lengkap untuk pengesahan di Mahkamah Syariah.
  • Ketiadaan dokumen sokongan boleh menyukarkan mahkamah memastikan rukun dan syarat sah nikah, khususnya berkaitan wali dan jurunikah.
  • Lima majlis agama Islam di selatan Thailand tidak lagi menikahkan pasangan Malaysia yang tidak melalui saluran imigresen sah dan tidak mengeluarkan surat pengesahan sijil nikah.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Status perkahwinan pasangan rakyat Malaysia yang bernikah di selatan Thailand berisiko tergantung sekiranya gagal mengemukakan dokumen lengkap bagi tujuan pengesahan di Mahkamah Syariah.

Peguam Syarie, Raja Mohamad Haziq berkata, ketiadaan dokumen sokongan boleh menyukarkan mahkamah memastikan pernikahan berkenaan memenuhi rukun dan syarat sah nikah, khususnya melibatkan wali serta jurunikah yang mengendalikan akad.

Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan proses pengesahan perkahwinan tertangguh sehingga pasangan dapat mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Advertisement

“Antara perkara yang nak disahkan dengan dokumen-dokumen ini ialah jurunikah itu sendiri. Jurunikah itu sendiri ataupun wali sendiri adalah rukun nikah yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang nak menikah ini.

“Jadi kalau jurunikah atau wali itu sendiri tak boleh dipastikan, dia akan beri kesan kepada pengesahan nikah dari sudut hukum syarak,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Advertisement

Beliau menjelaskan, kes pengesahan nikah dari selatan Thailand yang menggunakan khidmat sindiket merupakan antara isu yang sering dihadapi dalam prosiding pengesahan perkahwinan di Mahkamah Syariah.

Katanya, sekiranya semua dokumen teratur, proses pengesahan lazimnya boleh diselesaikan dalam satu atau dua sebutan mahkamah, iaitu sekitar 21 hari dari tarikh pemfailan kes.

Bagaimanapun, kekurangan dokumen boleh menyebabkan prosiding berlarutan kerana mahkamah perlu mendapatkan bukti yang mencukupi sebelum membuat keputusan.

“Pengalaman saya sendiri ada, tetapi tidaklah mahkamah itu beri keputusan (perkahwinan) tidak sah. Mahkamah hanya menangguhkan keputusan sehingga dokumen itu dilengkapkan.

“(Sebab) mahkamah akhirnya mahu juga kes itu selesai. Tidaklah sewenang-wenangnya menolak kes itu ataupun menjatuhkan hukuman. Yang penting, mahkamah mahu pasangan mendapatkan dokumen-dokumen yang diperlukan,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan, lima majlis agama Islam di wilayah Narathiwat, Songkhla, Satun, Yala dan Pattani sepakat tidak lagi menikahkan pasangan rakyat Malaysia yang memasuki Thailand tanpa melalui saluran imigresen yang sah.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, surat pengesahan sijil nikah juga tidak akan dikeluarkan kepada pasangan yang melanggar prosedur berkenaan.

Mengulas perkembangan tersebut, beliau melihat kerjasama tersebut bertujuan memastikan prosedur perkahwinan dipatuhi.

“Walaupun mereka dah bernikah secara sah di majlis agama, rakyat Malaysia yang dah bernikah di majlis agama perlu ke Konsular Malaysia di Songkla untuk mendapatkan satu surat pengesahan. Menyatakan bahawa tempat yang mereka pergi bernikah itu adalah tempat yang diakui, diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

"“Ini lah, I think this is the intention of the legislature lah. Orang-orang yang terlibat ni nak pastikan perkara ni tidak terus diambil kesempatan lah. Saya rasa itulah antara tujuan mereka bekerjasama dari sudut macam ini," tambahnya lagi.

Must Watch Video

Advertisement