Skip to main content

Malaysia

KDN lulus 225 permohonan kewarganegaraan di Sarawak - Shamsul Anuar

Shamsul Anuar pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Peringkat Jawatakankuasa) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Shamsul Anuar pada perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Peringkat Jawatakankuasa) sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan 225 daripada 722 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di Sarawak sehingga September 2024.
  • Seramai 306 permohonan telah menerima keputusan muktamad, manakala 416 permohonan masih dalam proses dan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Sarawak.
  • Akses pendidikan dan kesihatan bagi kanak-kanak tanpa dokumen tertakluk kepada dasar kementerian berkaitan, dengan kebajikan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meluluskan sebanyak 225 daripada 722 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan di Sarawak bagi tempoh 2024 hingga September lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada keseluruhan permohonan itu, sebanyak 306 permohonan telah mendapat keputusan muktamad kementerian termasuk 18 permohonan yang ditolak, manakala baki 416 permohonan masih dalam proses.

“Kes-kes berkenaan akan dibawa untuk pertimbangan dan keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Sarawak pada tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Advertisement

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Begri (GPS-Betong) mengenai keberkesanan JKKSK mempercepat verifikasi kes anak tanpa dokumen untuk tempoh 2024 hingga 2026, serta jumlah permohonan disyorkan yang mendapat kelulusan muktamad KDN. 

Shamsul Anuar berkata keputusan muktamad berhubung permohonan kewarganegaraan kekal di bawah kuasa KDN, manakala jawatankuasa berkenaan berperanan sebagai mekanisme kerjasama bagi memastikan pengurusan permohonan lebih inklusif dan adil, selain membantu mempercepat proses verifikasi serta mengurangkan isu kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak di Sarawak.

Advertisement

Menjawab soalan tambahan Dr Richard Rapu mengenai penyelarasan dasar interim bagi memastikan kanak-kanak tanpa dokumen mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan awam tanpa dikenakan caj warga asing sementara menunggu keputusan permohonan kewarganegaraan, Shamsul Anuar berkata perkara itu tertakluk kepada dasar dan bidang kuasa kementerian serta agensi berkaitan.

Beliau berkata akses kepada pendidikan formal dan perkhidmatan kesihatan awam termasuk caj rawatan perlu dirujuk kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, manakala aspek kebajikan serta perlindungan sosial kanak-kanak boleh dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk penilaian dan tindakan lanjut berdasarkan keperluan serta kelayakan masing-masing.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata penubuhan JKKSK merupakan mekanisme kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mempercepat proses verifikasi permohonan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan, susulan jumlah permohonan yang tinggi di negeri berkenaan.

“Kita sangat teliti perkara ini dan tidak melantik mana-mana NGO ataupun mana-mana individu untuk menguruskan proses kewarganegaraan. Bagaimanapun, jika Yang Berhormat ada isu dan perkara yang dibangkitkan, kita boleh bantu dan kemukakan kepada kementerian,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai kemungkinan KDN mewujudkan mekanisme khas seperti di Sarawak bagi mempercepat proses permohonan kewarganegaraan kanak-kanak tanpa dokumen di Perlis.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement