KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan pelaburan langsung asing (FDI) dari Jepun melebihi AS$30 bilion tahun ini, didorong oleh sokongan berterusan daripada syarikat Jepun.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata sektor swasta di kedua-dua negara menyatakan keyakinan terhadap prospek perniagaan tahun ini, walaupun persekitaran perdagangan global mengalami kelembapan.

"Apabila kita melihat kepada ekonomi tempatan dan global, kita berharap pertumbuhan (perdagangan Malaysia-Jepun) akan berterusan, tetapi kita masih perlu melihat (kemajuan kerana terdapat) terlalu banyak ketidaktentuan sekarang dalam perdagangan global.

"Bagaimanapun, pelaburan adalah isu yang berasingan. Saya fikir (untuk) pelaburan, kami optimis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Ekonomi Malaysia-Jepun di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata Malaysia benar-benar menghargai hubungan ekonomi yang erat dan kukuh dengan Jepun, yang juga salah satu rakan ekonomi penting Malaysia sejak beberapa dekad lepas.

Malah, beliau berkata Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut sejak 2015 dan, pada 2022, perdagangan dengan Jepun membentuk 6.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berjumlah US$41.26 bilion (RM181.73 bilion) di tengah-tengah persekitaran global yang mencabar.

Beliau berkata sehingga Jun 2023 sebanyak 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia, dengan pelaburan berjumlah US$27.25 bilion (RM91.89 bilion), mewujudkan sebanyak 337,758 peluang pekerjaan.

"Kami berbesar hati apabila melihat minat berterusan pelabur Jepun terhadap Malaysia, justeru, kami terus mengalu-alukan lebih banyak FDI dari Jepun," katanya.

Pada majlis itu, satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi mekanisme pengkreditan bersama telah ditandatangani antara Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jepun (JCCI) dengan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata MOU itu bertujuan memudahkan perusahaan kecil dan sederhana serta entiti besar kedua-dua negara untuk lebih berdaya saing di peringkat global, termasuk menyediakan akses pasaran ke destinasi masing-masing.

"Tahun lepas, kami mencapai kira-kira US$40 bilion perdagangan (dengan Jepun), tetapi tahun ini, kami berharap ia meningkat lebih 10 hingga 20 peratus.

"Dengan MOU ini, kita mampu meraih lebih banyak komunikasi perniagaan-ke-perniagaan secara langsung dan lebih banyak eksport dari Malaysia, manakala pada masa yang sama Jepun juga boleh mengeksport ke Malaysia," katanya.

-- BERNAMA