KUALA NERANG: FELCRA Berhad telah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja di ladang sawit dan getah miliknya.

Ahli Lembaga Pengarah FELCRA Berhad Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata kemasukan pekerja itu dijangka akan memulihkan semula hasil pengeluaran FELCRA yang sebelum ini terjejas ekoran kekurangan tenaga kerja ketika pandemik COVID-19.

"FELCRA tidak rugi malah catat keuntungan yang banyak tetapi ketika pandemik COVID-19 lalu, ramai pekerja asing pulang ke negara asal mereka dan bila hendak masuk bekerja semula di Malaysia, prosedur kemasukan sedikit sukar.

"Bila tiada pekerja untuk bekerja di ladang-ladang FELCRA, hasil akan berkurangan. Sebab itu, kami minta kerajaan untuk bekalkan pekerja dan telah mendapat kebenaran untuk membawa masuk kira-kira 5,000 pekerja asing tetapi proses kemasukan itu agak lambat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa FELCRA Berhad mengalami kerugian RM3 bilion dalam tempoh sebulan.

Ghazali berkata pihaknya yakin dengan kelulusan daripada kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing itu ia akan dapat mengatasi masalah yang sedang dihadapi FELCRA sekali gus dapat meningkatkan semula hasil pengeluarannya.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Jelajah #SayaDigital Keluarga Malaysia anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia yang disertai 120 peserta yang terdiri daripada peniaga kecil dan pelajar.

Ghazali berkata program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peniaga kecil terutama dari kawasan luar bandar untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan menerusi teknologi digital bagi membantu meningkatkan hasil jualan produk mereka.

"Peniaga kecil ini maklumkan mereka boleh memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan dan mungkin apabila mereka mula menjual produk secara dalam talian dan platform digital pendapatan mereka boleh bertambah," katanya.

-- BERNAMA