Salji sebabkan kesesakan lalu lintas di Paris, utara Perancis

Salji yang kekal di atas permukaan tanah semalaman merupakan kejadian yang jarang berlaku di Paris sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - AP
PARIS: Salji tebal menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di ibu negara Perancis, Paris, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Syarikat pengangkutan RATP pada Rabu mengumumkan perkhidmatan bas di seluruh bandar itu digantung sehingga petang.
Perkhidmatan trem, metro dan kereta api RER turut terjejas akibat keadaan cuaca buruk itu manakala penerbangan di lapangan terbang bandar itu dikurangkan pada waktu pagi.
Menteri Pengangkutan Philippe Tabarot menggesa penduduk di wilayah Paris agar menangguhkan perjalanan pagi mereka.
Salji yang kekal di atas permukaan tanah semalaman merupakan kejadian yang jarang berlaku di Paris sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Cuaca musim sejuk bersalji turut menyebabkan halangan di beberapa bahagian lain negara, dari utara hingga ke wilayah tengah barat.
Bas sekolah dan lori tidak dibenarkan bergerak di kawasan yang berada di bawah amaran salji tahap kedua tertinggi, iaitu tahap jingga. Perkhidmatan bas turut digantung di bandar Lille di utara negara itu.
Di seluruh negara, kesesakan lalu lintas akibat cuaca buruk dilaporkan mencecah 1,650 kilometer, menurut laporan akhbar Le Parisien dan saluran BFMTV.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


