KUALA LUMPUR: Syarikat perladangan FGV Holdings Bhd sedang memuktamadkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) yang baharu.

Pengerusinya Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata FGV, selaku pengeluar terbesar minyak sawit mentah (MSM) dunia akan membuat pengumuman yang sewajarnya selepas proses berkaitan selesai.

"Sementara itu, tugas dan tanggungjawab GCEO berada di bawah bidang kuasa Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan kumpulan, Azman Ahmad," katanya dalam kenyataan hari ini sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV ke-13, yang diadakan secara maya.

Dzulkifli berkata para pemegang saham FGV telah meluluskan semua resolusi dalam AGM itu.

Antara kemas kini penting yang lain adalah, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan pihak-pihak yang bertindak bersama dengannya kini memegang 81 peratus kepentingan ekuiti syarikat selepas pelancaran tawaran pengambilalihan pada harga RM1.30 sesaham.

"Oleh itu, FGV akan terus bekerjasama secara sinergi bersama FELDA yang merupakan syarikat induk utama dalam setiap keputusan seterusnya demi kebaikan semua pihak berkepentingan, termasuk peneroka FELDA," kata Dzulkifli.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 yang belum pernah terjadi sebelum ini sangat mempengaruhi industri ini, dan FGV serta semua pemain perladangan lain, turut tidak terkecuali.

"Ketidakpastian dan cabaran yang dihadapi oleh industri sepanjang pandemik ini telah mempengaruhi permintaan domestik dan global, yang semakin mudarat akibat gangguan dalam kegiatan huluan," katanya.

Bagaimanapun, Dzulkifli berkata rancangan tindakan komprehensif FGV yang dilaksanakan di seluruh operasi perniagaan semasa pandemik ini telah mula membuahkan hasil yang bernilai dalam prestasi kewangan 2020.

"FGV menjangkakan 2021 turut akan menjadi tahun yang mencabar berikutan kekangan dalam penawaran tenaga kerja dan harga MSM yang sangat tidak stabil dalam perniagaan perladangan.

"Sementara itu, perniagaan gula kami akan terus meningkatkan prestasi operasi dan kewangan syarikat," katanya.

Bagi tahun kewangan 2020, FGV mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM353 juta berbanding kerugian sebelum zakat dan cukai berjumlah RM338 juta pada tahun sebelumnya.

Perolehan meningkat kepada RM14.08 bilion daripada RM13.26 bilion, dengan purata harga MSM direalisasi meningkat kepada RM2,675 satu tan berbanding RM2,021 tan sebelum ini.

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen akhir sebanyak tiga sen pada tahun kewangan 2020.

-- BERNAMA