BISNES
Finland intai lebih banyak peluang perniagaan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

Anne Vasara berkata minat itu dizahirkan melalui SRXGlobal, sebuah syarikat Scanfil yang telah melabur RM15.8 juta untuk mengembangkan dan memodenkan kemudahannya di Johor Bahru. - Bernama
KUALA LUMPUR: Finland sedang mengintai lebih banyak peluang perniagaan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), menunjukkan minatnya yang semakin meningkat untuk berkembang di Malaysia.
Duta Besar Finland ke Malaysia Anne Vasara berkata minat itu dizahirkan melalui SRXGlobal, sebuah syarikat Scanfil yang telah melabur RM15.8 juta untuk mengembangkan dan memodenkan kemudahannya di Johor Bahru, Johor.
"Beberapa syarikat Finland berpeluang melawat Johor Bahru semasa lawatan rasmi Menteri Perdagangan Luar dan Pembangunan Ville Tavio ke Malaysia pada Mei. Mereka sedang meneroka potensi peluang perniagaan khususnya dalam ekonomi kitaran, penyelesaian tenaga mampan dan semikonduktor.
"Ia bertujuan bagi meningkatkan kerjasama di rantau ini. Jadi kami berharap dapat melihat kerjasama perniagaan yang lebih kukuh antara Finland dan Malaysia," katanya kepada Bernama.Scanfil ialah sebuah syarikat multinasional dari Finland dan merupakan syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik yang tersenarai dan terbesar di Eropah.
Vasara berkata lawatan Tavio ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang baru-baru ini telah mencipta daya tarikan dengan penglibatan positif daripada kedua-dua kerajaan dan pemain industri.
Sehubungan itu, momentum semakin meningkat apabila lebih banyak syarikat Finland melihat Malaysia sebagai pintu masuk strategik ke Asia Tenggara, antaranya melalui pembukaan JS-SEZ.
Memandangkan Finland merupakan peneraju dalam ekonomi kitaran, negara itu berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama dan peningkatan dalam perdagangan serta pelaburan di rantau itu.
Beliau juga berharap untuk memperkukuh kerjasama melalui penglibatan dua hala dan berharap agar Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia dan Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang sekian lama dinantikan dapat dimuktamadkan dengan lancar.
"Walaupun berdepan cabaran dan ketidaktentuan seperti tarif AS, kami tetap memberi tumpuan kepada pertumbuhan hijau, inovasi dan daya tahan ekonomi sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk meningkatkan daya saing dan menarik pelaburan," tambahnya.
Sehingga Mei 2025, eksport Finland ke Malaysia bernilai 101 juta euro, manakala eksport Malaysia ke Finland mencecah 69 juta euro. Tahun lepas, import dari Finland berjumlah 254 juta euro dan eksport Malaysia ke Finland pula sebanyak 32 juta euro.
Eksport utama Malaysia ke Finland ialah peralatan elektrik dan elektronik, jentera dan produk-produk berasaskan kertas, manakala import utama dari Finland termasuk jentera, bahan kimia dan produk-produk makanan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami