TVET Perak: Usahawan disaran rebut peluang latihan, bantuan disediakan

Mohd Shukri berkata, gabungan antara kemahiran teknikal dan pengetahuan pengurusan merupakan kunci utama untuk memastikan perniagaan terus maju. - Foto Astro AWANI
IPOH: Golongan belia dan usahawan digesa merebut peluang yang disediakan Kerajaan Negeri Perak dalam bidang kemahiran dan keusahawanan bagi memperkukuh daya saing serta memastikan kelangsungan perniagaan.
Pengarah Urusan TSR Empire, Mohd Shukri Radzi, memuji usaha kerajaan negeri dalam membantu usahawan tempatan, termasuk melalui program berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET).
Katanya, ia amat penting dalam melahirkan tenaga mahir yang turut mempunyai keupayaan mengurus perniagaan dengan baik.
“Bagi saya, apabila kita sudah ada kemahiran dan kita pula dapat bantuan daripada kerajaan negeri di bawah keusahawanan, ia akan jadi selari.
"Walaupun ada kemahiran, tetapi tanpa ilmu pengurusan, perniagaan tidak boleh berkembang,” katanya dalam episod khas AWANI Pagi yang membincangkan usaha kerajaan negeri dalam memperkasa TVET.
Mohd Shukri yang juga Mentor TVET Usahawan menjelaskan, gabungan antara kemahiran teknikal dan pengetahuan pengurusan merupakan kunci utama untuk memastikan perniagaan terus maju dan berdaya tahan dalam pasaran yang semakin mencabar.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan anak muda untuk memanfaatkan pelbagai inisiatif keusahawanan yang ditawarkan kerajaan negeri, antaranya melalui agensi seperti Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang menyediakan kelas dan bimbingan tanpa bayaran.
“Saya sangat galakkan anak muda di luar sana, carilah peluang seperti di Perak. Banyak program keusahawanan ditawarkan, malah kelas pun percuma. Dahulu saya habis ribuan ringgit untuk cari ilmu, tapi di sini semua disediakan,” katanya.
Beliau menegaskan ilmu dan kemahiran merupakan pelaburan jangka panjang yang bakal memberi impak besar terhadap pembangunan ekonomi negeri, khususnya dalam melahirkan lebih ramai usahawan TVET yang berdaya saing.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


