BISNES
Firefly pindah operasi jet ke KLIA mulai 19 Ogos

Penumpang terjejas akibat perubahan Firefly ini akan dihubungi untuk pengaturan perjalanan alternatif atau bayaran balik penuh disediakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Operasi Firefly akan dipindahkan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkuat kuasa 19 Ogos 2025.
Ringkasan AI
- Operasi jet Firefly akan dipindahkan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) ke Terminal 1 KLIA mulai 19 Ogos 2025, bermula dengan penerbangan ke Tawau dan diikuti destinasi lain secara berperingkat.
- Perkhidmatan pesawat turboprop Firefly akan terus beroperasi dari SZB seperti biasa.
- Perpindahan ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi jet dan ketersambungan penumpang, dengan sokongan penuh kepada penumpang yang terjejas melalui pengaturan semula atau bayaran balik.
“Firefly akan memulakan perkhidmatan jet dari KLIA mulai 19 Ogos ini dengan penerbangan pertamanya ke Tawau, diikuti dengan pelancaran berperingkat ke destinasi domestik dan serantau utama.
“Penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu akan bermula pada (21 Ogos); Singapura (22 Ogos); Johor (23 Ogos); Kota Bharu dan Terengganu (30 Ogos) dan Sibu pada 3 September,” kata MAG dalam satu kenyataan pada Rabu.
Syarikat penerbangan itu juga akan menambah perkhidmatan sedia ada dari KLIA ke Pulau Pinang daripada dua kali seminggu kepada enam kali seminggu mulai 23 Ogos depan dan menaikkannya kepada 10 kali seminggu pada November 2025.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata penumpang yang terjejas akibat perubahan itu akan dihubungi terus dengan pilihan untuk pengaturan perjalanan alternatif atau bayaran balik penuh disediakan seiring dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016.
Perpindahan ke KLIA membolehkan Firefly menambah baik operasi jet dengan lebih cekap, meningkatkan ketersambungan penumpang dan memanfaatkan keupayaan bersama MAG dalam kejuruteraan, pengendalian darat dan katering dengan lebih baik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami