Skip to main content
Advertisement

Bisnes

Fitch sasar aset kewangan Islam Malaysia lebih AS$800 bilion, pertumbuhan dijangka berterusan

Malaysia kekal sebagai peneraju global sukuk, dengan 33 peratus sukuk global dan 64 peratus pasaran modal hutang domestik pada akhir suku ketiga 2026. - Gambar hiasan
Malaysia kekal sebagai peneraju global sukuk, dengan 33 peratus sukuk global dan 64 peratus pasaran modal hutang domestik pada akhir suku ketiga 2026. - Gambar hiasan

Advertisement

Ringkasan AI

  • Fitch Ratings menjangkakan industri kewangan Islam Malaysia melebihi AS$800 bilion pada akhir suku ketiga 2026, mewakili lebih 150 peratus KDNK.
  • Malaysia kekal sebagai peneraju global sukuk, dengan 33 peratus sukuk global dan 64 peratus pasaran modal hutang domestik pada akhir suku ketiga 2026.
  • Pertumbuhan industri disokong pasaran domestik kukuh, namun terdedah kepada turun naik pasaran luar, kadar pertukaran, kadar faedah dan harga komoditi.

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengunjurkan industri kewangan Islam Malaysia melebihi AS$800 bilion pada akhir suku ketiga 2026 dengan pertumbuhan dijangka berterusan, disokong oleh pasaran domestik yang kukuh, ekosistem yang matang serta sokongan dasar menerusi Belanjawan 2027.

Agensi penarafan itu menyatakan Malaysia berkemungkinan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam sukuk serta pasaran utama bagi perbankan Islam, dana Islam dan takaful.

Bagaimanapun, jelasnya, prospek pertumbuhan masih tertakluk kepada turun naik pasaran luar, pengurangan terbitan sukuk kerajaan serta sensitiviti terhadap pergerakan kadar pertukaran mata wang, kadar faedah dan harga komoditi.

“Kami mengunjurkan industri kewangan Islam Malaysia melebihi AS$800 bilion pada akhir suku ketiga 2026, mewakili lebih 150 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Ini didahului oleh sukuk (47 peratus) diikuti oleh aset perbankan Islam (42 peratus), dana Islam (lapan peratus) dan takaful (tiga peratus),” menurut agensi itu dalam satu ulasan bukan tindakan penarafan hari ini.

Fitch memberitahu daya tahan industri berkenaan disokong oleh keluasan dan kedalaman pasaran domestik serta ekosistem kewangan Islam yang antara termaju di dunia.

Semua sukuk dan entiti kewangan Islam Malaysia yang diberikan penarafan oleh Fitch berada dalam kategori gred pelaburan pada akhir suku ketiga 2026 dengan sokongan kerajaan kekal sebagai faktor penting yang mempengaruhi penarafan tersebut.

Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia pada akhir suku ketiga 2026 merangkumi 33 peratus daripada jumlah sukuk global yang masih belum matang dan kira-kira 64 peratus daripada pasaran modal hutang domestik.

Kerajaan juga kembali ke pasaran sukuk dolar Amerika Syarikat dengan terbitan bernilai AS$1.5 bilion, selepas berehat selama lima tahun.

“Kami mengunjurkan hutang kerajaan termasuk sukuk akan merosot secara beransur-ansur, disokong oleh pertumbuhan KDNK nominal dan langkah penyatuan fiskal yang dirancang.

"Hutang dijangka susut kepada kira-kira 74 peratus daripada KDNK pada 2027 (2025: 77 peratus), walaupun paras itu masih melebihi median semasa bagi penarafan ‘BBB’, iaitu 57.4 peratus,” jelas Fitch.

Fitch memberi penarafan lebih daripada AS$11 bilion sukuk belum matang Malaysia pada akhir suku ketiga 2026. Kesemuanya merupakan terbitan kerajaan berdaulat yang diberi penarafan 'BBB+' dengan Prospek Stabil dan kira-kira 95 peratus diterbitkan dalam denominasi ringgit dengan purata tempoh matang 18.6 tahun.

Sukuk berdenominasi ringgit yang diberi penarafan oleh Fitch merupakan antara sukuk paling mudah tunai di dunia pada awal Oktober 2026 dan menjadi satu daripada beberapa segmen sukuk yang mencatatkan tahap mudah tunai melebihi paras sebelum perang.

Sementara itu, pegangan asing dalam hutang kerajaan merosot kepada 20.6 peratus pada akhir separuh pertama 2026 daripada 21.6 peratus pada akhir suku pertama 2026 sekali gus menyerlahkan kepekaan pasaran terhadap keadaan luaran.

Segmen-segmen lain dalam industri kewangan Islam juga kekal signifikan. Pembiayaan Islam merangkumi 44.3 peratus daripada jumlah pembiayaan sistem perbankan pada Ogos 2026, meningkat daripada 44.0 peratus pada 2025.

“Kami mengunjurkan industri ini akan terus berkembang dalam jangka sederhana apabila bank-bank mengutamakan strategi kewangan Islam,” menurut Fitch.

Dana Islam merangkumi 22.4 peratus daripada jumlah aset industri di bawah pengurusan pada akhir separuh pertama 2026 manakala takaful mewakili kira-kira 20 peratus daripada jumlah aset industri insurans pada akhir suku pertama 2026.

Fitch memberitahu pendigitalan dan kewangan mampan berpotensi menjadi pemangkin tambahan kepada pertumbuhan industri itu.

Terbitan sukuk bertoken pertama oleh Khazanah Nasional Bhd serta pelancaran SSDS+ oleh Bank Negara Malaysia menandakan kemajuan selanjutnya dalam pembangunan pasaran modal Islam berasaskan token.

Jumlah hutang berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang masih belum matang meningkat 27 peratus tahun ke tahun kepada US$21 bilion dengan sukuk merangkumi 92 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Pelan Induk Pasaran Modal Malaysia 2026-2030 menyasarkan pembiayaan terkumpul sebanyak RM90 bilion hingga RM100 bilion bagi keutamaan alam sekitar dan sosial,” jelas Fitch.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement